Sejarah Dan Garis Masa BKKM

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) adalah salah satu Program di bawah Ketua Pengarah Kesihatan, KKM.

Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan diwujudkan untuk melindungi orang awam dari bahaya kesihatan dan penipuan dalam penyediaan, penjualan dan penyimpanan makanan. Aktiviti ini telah berkembang dengan pesat sejak tahun 1950an. Sebelum tahun 1985,  penguatkuasaan ke atas keselamatan dan mutu makanan dijalankan di bawah Ordinan Jualan Makanan dan Dadah 1952. Keperluan perundangan makanan direalisasikan dengan kemajuan negara  sejajar dengan perkembangan dunia dalam sekuriti dan keselamatan makanan; perkembangan dalam teknologi penghasilan makanan serta pemasaran makanan. Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 dikuatkuasakan pada Oktober 1985.

Bermula dari penubuhannya pada tahun 1974, Bahagian ini dikenali sebagai Unit Kawalan Mutu Makanan. Selaras dengan pembangunan industri makanan Negara, peningkatan trend ekonomi pada awal tahun 1990an dan isu keselamatan makanan secara global, Unit Kawalan Mutu Makanan telah dinaiktaraf ke Bahagian Kawalan Mutu Makanan di peringkat Kementerian pada tahun 1993. Pada September 2004, Bahagian Kawalan Mutu Makanan telah melakukan penjenamaan semula kepada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan. Bahagian ini telah dinaiktaraf kepada satu Program pada 1 Julai 2010 dengan diketuai oleh Pengarah Kanan dan dua Pengarah Bahagian.