Streptococcus Gram B (GBS) dalam Makanan

  I-MAS  ARTIKEL

Nurul Hidayati Binti Surawi, Ts. Nor Kamilah binti Mohd Alwi,  Sharizat binti Hj Ahmad dan Ts. Zailina binti Abdul Majid

Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia

Pada pertengahan tahun 2015, Singapura melaporkan peningkatan mendadak kes jangkitan invasif Group B Streptococcus (GBS), dengan sebanyak 146 kes direkodkan dalam tempoh yang singkat. Bagi mengenal pasti punca penularan luar biasa ini, pasukan penyelidik menjalankan analisis genetik dengan membandingkan DNA bakteria yang diasingkan daripada pesakit terlibat. Hasil siasatan menunjukkan bahawa majoriti sampel berkongsi ciri genetik yang sama, iaitu tergolong dalam Sequence Type 283 (ST283), satu klon GBS yang jarang dilaporkan sebelum ini. Penemuan tersebut memberi petunjuk kukuh bahawa jangkitan ini berkemungkinan mempunyai sumber penularan yang sama.

Siasatan epidemiologi kemudiannya mengukuhkan lagi dapatan tersebut apabila didapati sebahagian besar pesakit mempunyai sejarah pengambilan ikan air tawar mentah atau produk siap makan berasaskan ikan air tawar sebelum mengalami gejala jangkitan. Hubungan konsisten antara pendedahan makanan dan kejadian penyakit ini akhirnya membawa kepada pengesahan bahawa makanan tercemar, khususnya hidangan ikan mentah, merupakan punca utama wabak GBS ST283 di Singapura.

Salah seorang mangsa, bekas juruteknik bernama Tan Whee Boon, kehilangan keempat-empat anggota badannya selepas memakan yusheng, iaitu hidangan ikan mentah. Hidangan Yusheng biasanya disediakan daripada hirisan ikan kap kepala besar Asia (Hypophthalmichthys nobilis) dan ikan haruan (Channa spp.), serta dihidangkan sebagai lauk sampingan bersama bubur oleh gerai makanan yang beroperasi di dalam premis makan yang lebih besar. Menurut laporan terdahulu, dua orang mangsa di Singapura meninggal dunia pada tahun 2015 akibat jangkitan tersebut.

Selain di Singapura, kes penyakit GBS ST283 invasif juga telah dikenal pasti di beberapa negara Asia lain termasuk China, Hong Kong, Republik Demokratik Rakyat Lao (Laos), Thailand dan Vietnam. Sebaliknya, laporan kes di luar rantau Asia masih amat terhad walaupun pelbagai kajian penentuan jenis (typing studies) telah dijalankan di kawasan lain seperti Afrika, Eropah serta Amerika Utara dan Selatan. Corak geografi ini menunjukkan bahawa penularan GBS ST283 masih tertumpu di Asia, berkemungkinan berkait dengan tabiat pemakanan tempatan atau faktor rantaian bekalan makanan di rantau ini.

APA ITU GBS?

Group B Streptococcus (GBS) ialah bakteria anaerob fakultatif yang mampu hidup dalam keadaan beroksigen, namun ia tidak resistan terhadap suhu tinggi dan tidak dapat bertahan selepas proses pempasteuran. Menariknya, kajian menunjukkan bahawa GBS ST283 lebih sensitif terhadap haba berbanding bakteria patogen bawaan makanan yang lain seperti Escherichia coli O157:H7 dan Listeria monocytogenes. Walau bagaimanapun, bakteria ini mempunyai kebolehan untuk hidup dalam keadaan kepekatan garam yang tinggi sehingga 5.5% NaCl, iaitu lebih tinggi daripada kandungan garam purata air laut (3.5%). Sehingga kini, GBS ST283 adalah patogen zoonotik (bermakna ia boleh dipindahkan antara haiwan-ikan dan manusia) yang diketahui berkait secara langsung dengan penyakit bawaan makanan pada manusia. Namun begitu, mekanisme khusus yang menerangkan bagaimana GBS menyebabkan penyakit bawaan makanan masih belum dapat dipastikan sepenuhnya kerana kekurangan bukti saintifik berkaitan laluan jangkitan tersebut.

Dari segi kelangsungan dalam persekitaran, jangka hayat GBS dipercayai adalah terhad. Kehadiran bakteria ini dalam sumber air atau persekitaran lain lazimnya dikaitkan dengan pencemaran sisa kumbahan manusia atau haiwan. Secara umum, GBS (tidak spesifik kepada ST283) dilaporkan boleh ditemui dalam tanah, air, sedimen, serta pelbagai sumber persekitaran lain. Walau bagaimanapun, bukti berhubung keupayaan bakteria ini untuk bertahan lama dalam ekosistem akuatik atau menjadi sebahagian daripada flora mikroorganisma semula jadi masih terhad dan memerlukan kajian lanjut.

BAGAIMANA GBS BOLEH MERBAHAYA KEPADA MANUSIA

GBS ST283 sering menyebabkan jangkitan serius dan invasif kepada manusia. Antara bentuk jangkitan yang biasa termasuk:

Jangkitan ini lebih kerap berlaku pada warga tua atau individu yang mempunyai sistem imun lemah, kerana tubuh mereka kurang mampu menentang bakteria penyebab penyakit.

Selain itu, rintangan antibiotik pada sesetengah strain GBS ST283 menjadikan rawatan lebih sukar. Antibiotik biasa mungkin kurang berkesan, sekali gus meningkatkan risiko penyakit serius dan mengehadkan pilihan rawatan yang tersedia bagi pengamal perubatan.

KAWALAN TERHADAP GBS DALAM MAKANAN

Peraturan 39, Peraturan-peraturan Makanan 1985 menyatakan tiada seorang pun boleh mengimport, menyedia atau mengiklankan untuk jualan atau menjual apa-apa makanan yang sedia untuk dimakan yang telah tercemar dengan mikroorganisma patogenik.

Manakala, Singapura melalui National Environment Agency telah mengharamkan ikan air tawar mentah sebagai makanan sedia dimakan pada Disember 2015. Selain itu, Hong Kong mempunyai peraturan yang jelas yang melarang penjualan ikan air tawar mentah sebagai makanan sedia dimakan (ready-to-eat).

CARA MENGURANGKAN RISIKO JANGKITAN GBS MELALUI PENGAMBILAN IKAN MENTAH SEDIA DIMAKAN (RTE IKAN MENTAH)

Sebagai pengguna, kita memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan makanan. Jika anda memilih untuk menikmati hidangan ikan mentah sedia dimakan (RTE), anda perlu peka terhadap risiko jangkitan yang mungkin wujud. Secara khususnya, golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, wanita hamil, warga emas, serta individu yang mempunyai sistem imun lemah atau penyakit kronik seperti diabetes, digalakkan mengelakkan pengambilan makanan mentah bagi mencegah komplikasi kesihatan yang serius.

Selain itu,  pada tahun 2021, Food and Agriculture Organization of the United Nations (FAO) telah menyediakan panduan dan dokumen profil risiko yang menekankan amalan akuakultur yang baik, peningkatan kesedaran awam serta nasihat bagi mengelakkan pengambilan ikan air tawar mentah. Risiko penyakit GBS dalam ikan boleh dikurangkan melalui kualiti air yang baik serta pengurusan ternakan ikan yang baik. Dokumen tersebut turut mengesyorkan;

• Risiko penyakit GBS dalam ikan meningkat apabila suhu air tinggi, tahap keasidan/kealkalian  air tidak seimbang, serta wujudnya pencemaran air.

• Langkah pengurangan risiko berasaskan kaedah penternakan mungkin tidak mencukupi untuk mencegah sepenuhnya penyakit GBS dalam ikan atau manusia.

• Tilapia pada setiap peringkat hidup, termasuk peringkat benih (fry), boleh membawa GBS walaupun tanpa menunjukkan tanda klinikal yang jelas.

AMALAN KESELAMATAN MAKANAN YANG DISYORKAN

Untuk mengurangkan risiko pencemaran bakteria seperti GBS, langkah keselamatan makanan berikut boleh diamalkan di rumah:

  1. Masak makanan sehingga benar-benar masak, kerana pemanasan mencukupi mampu membunuh bakteria dan parasit berbahaya

  2. Elakkan pencemaran silang (cross-contamination) dengan:

    1. Mencuci tangan, tempat penyediaan makanan, serta peralatan dapur sebelum dan selepas mengendalikan ikan mentah

    2. Menggunakan pisau dan papan pemotong yang berasingan untuk makanan mentah dan makanan yang telah dimasak.Amalan mudah ini dapat membantu mengurangkan risiko jangkitan bawaan makanan sekaligus meningkatkan keselamatan makanan dalam kehidupan seharian.

  3. Simpan makanan pada suhu yang sesuai, sama ada disejukkan atau dibekukan, sehingga ia sedia untuk disediakan bagi mengelakkan pertumbuhan bakteria.

RUJUKAN

  1. Peraturan-Peraturan Makanan 1985

  2. Peraturan Kebersihan Makanan 2009

  3. FAO. 2021. Risk profile - Group B Streptococcus (GBS) – Streptococcus agalactiae sequence type (ST) 283 in freshwater fish. Bangkok

  4. Wong H, Lam K, Tsang AK, Hung DL, Ng T, Au AK &Tsui EL,2025, A large outbreak of invasive Group B Streptococcus Sequence Type 283 infection linked to physical contact of freshwater fish. Epidemiology and Infection, 153, e76 1-5.

  5. GBS and the Consumption of Raw Freshwater Fish - https://www.sfa.gov.sg/food-information/risk-at-a-glance/gbs-and-the-consumption-of-raw-fish