NCFS adalah cabang saintifik di bawah PKKM yang berfungsi menyediakan data saintifik khususnya bagi memastikan keselamatan makanan adalah terjamin di sepanjang rantaian makanan di samping memperkasakan tindakan kawalan terhadap produk makanan yang berisiko.

Projek NCFS telah diluluskan di bawah Rolling Plan Ke-Empat Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dengan nilai kontrak sebanyak RM130 juta dan dilaksanakan secara Reka dan Bina (Design & Build).

Projek pembinaan NCFS dengan keluasan 21,088 meter persegi telah dimulakan pada April 2018 dan dijangka siap pada 1 Mei 2024 setelah kelulusan EOT ke-7 pada 29 November 2023.

Perolehan peralatan bagi pelaksanaan fungsi NCFS telah bermula sejak tahun 2021 melalui kelulusan peruntukan di bawah RMK-12 berjumlah RM46 juta serta peruntukan perolehan peralatan di bawah projek NCFS berjumlah RM21.5 juta.

Sehingga 2023, RM25.2 juta telah dibelanjakan manakala perolehan bernilai RM33.48 juta sedang dilaksanakan pada tahun 2024. Pada Januari 2023, BSM telah meluluskan 70 perjawatan bagi NCFS. Sehingga kini sebanyak 18 perjawatan telah diisi. Fokus pelaksanaan perjawatan sehingga kini adalah dalam skop penyediaan fasiliti, penyediaan perkhidmatan, penyediaan dokumen bagi pengoperasian dan pelaksanaan perkhidmatan serta pemantapan kemahiran pegawai melalui skop latihan spesifik.