Bahaya dan Larangan Penggunaan Kalsium Karbida dalam Pemeraman Buah

  I-MAS  ARTIKEL

Rohana binti Ani, Ts. Nor Kamilah binti Mohamad Alwi, Ts. Noraini binti Ab. Wahab, Ts. Zailina binti Abdul Majid

PENGENALAN

Pernahkah anda terfikir bagaimana sesetengah buah-buahan boleh masak secara serentak dalam tempoh yang singkat? Walaupun proses pematangan lazimnya berlaku secara semula jadi, terdapat segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menyalahgunakan bahan kimia berbahaya, iaitu kalsium karbida atau dikenali sebagai "karbid", bagi mempercepatkan proses pemeraman buah-buahan. Penyalahgunaan kalsium karbida berlaku kerana bahan ini mampu mempercepatkan proses pematangan buah-buahan seperti pisang, mangga dan betik dalam tempoh yang singkat, iaitu seawal 24 jam. Namun dalam konteks keselamatan makanan, kalsium karbida tidak dibenarkan digunakan sebagai agen pematangan buah-buahan kerana boleh menimbulkan risiko kepada kesihatan pengguna.

Kalsium karbida (CaC₂) ialah sebatian kimia yang digunakan secara meluas dalam sektor perindustrian, terutamanya untuk menghasilkan gas asetilena melalui tindak balas dengan air. Gas asetilena mempunyai fungsi yang serupa dengan gas etilena, iaitu hormon pematangan semula jadi yang dihasilkan oleh buah-buahan. Kalsium karbida gred industri lazimnya mengandungi bahan kimia berbahaya seperti arsenik dan fosforus. Apabila bertindak balas dengan air, bahan kimia ini boleh menghasilkan gas toksik dan karsinogenik seperti arsina (AsH₃) dan fosfina (PH₃). Pendedahan kepada gas-gas tersebut boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan, termasuk menyebabkan iritasi pada mata dan saluran pernafasan, gangguan sistem saraf serta kerosakan organ sekiranya terdedah pada kepekatan yang tinggi atau secara berpanjangan.

Selain risiko terhadap kesihatan, gas asetilena juga bersifat sangat mudah terbakar dan boleh menyebabkan kebakaran atau letupan sekiranya tidak dikendalikan dengan betul. Menurut laporan akhbar New Straits Times bertarikh 12 Jun 2025, sebuah kedai buah di Klang, Selangor dilaporkan meletup akibat penggunaan kalsium karbida. Insiden tersebut menunjukkan bahawa risiko penggunaan karbid bukan sahaja melibatkan aspek keselamatan makanan, malah turut mengancam keselamatan pekerja, premis dan persekitaran.

BAHAYA CEMARAN KEPADA KESIHATAN

Dari perspektif keselamatan makanan, penggunaan kalsium karbida dalam pengendalian makanan adalah dilarang kerana menjejaskan keselamatan dan kualiti makanan serta mengurangkan keyakinan pengguna terhadap keselamatan bekalan makanan di pasaran.

Jadual 1: Kesan Buruk & Bahaya Kesihatan

Jenis Kesan

Impak & Gejala Kesihatan

Kesan Akut (Serta-merta)

Pening, sakit kepala, muntah, sesak nafas, kehilangan kesedaran, hingga boleh membawa kematian.

Kesan Kronik (Jangka Panjang)

Kerosakan organ penting (hati, buah kidney, paru-paru, usus), gangguan imun, gangguan emosi, kehilangan ingatan, kemerosotan kesuburan, serta risiko kanser.

Kesan kepada Buah

Buah tidak ranum sempurna, masak tidak sekata, rasa dan tekstur kurang baik, serta mengandungi sisa toksik beracun.

⚠️ Risiko Tinggi: Pendedahan bahaya ini turut mengancam pekerja industri yang mengendalikannya secara langsung serta golongan berisiko tinggi seperti kanak-kanak dan wanita hamil.

WhatsApp Image 2026-09-22 at 12.04.55.jpeg

KAWALAN PERUNDANGAN

Bagi melindungi kesihatan pengguna, penggunaan kalsium karbida dalam pemprosesan atau pemeraman makanan adalah tidak dibenarkan di Malaysia. Di bawah Subseksyen 13(1) Akta Makanan 1983 [Akta 281], mana-mana individu yang menyediakan atau menjual makanan yang mengandungi bahan beracun, berbahaya atau memudaratkan kesihatan, termasuk penggunaan kalsium karbida, melakukan suatu kesalahan. Jika disabitkan, individu tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000, dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 10 tahun, atau kedua-duanya sekali. Pendekatan ini selaras dengan amalan antarabangsa, termasuk larangan penggunaan kalsium karbida untuk pemeraman buah-buahan di India serta kawalan ketat terhadap penggunaan bahan kimia berbahaya di bawah Peraturan Registration, Evaluation, Authorisation and Restriction of Chemicals (REACH) Kesatuan Eropah (EU). 

CARA PENCEGAHAN CEMARAN

Peranan PKKM

Peranan Pengguna 

KESIMPULAN

Penggunaan kalsium karbida tidak dibenarkan untuk proses pemeraman buah-buahan. Walaupun ia mampu mempercepatkan proses pematangan buah, penggunaannya boleh mendedahkan pengguna dan pengendali makanan kepada risiko kesihatan yang serius serta meningkatkan bahaya kebakaran dan letupan. Oleh itu, penggunaan kalsium karbida dalam makanan adalah dilarang di Malaysia dan tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang-undang. Kerjasama semua pihak, termasuk pengusaha makanan, pengedar dan pengguna, amat penting dalam memastikan hanya kaedah pemeraman yang selamat dan dibenarkan digunakan. Dengan meningkatkan kesedaran, mematuhi perundangan makanan serta mengamalkan pengendalian makanan yang baik, keselamatan bekalan makanan negara dapat dipelihara dan kesihatan pengguna terus dilindungi.

RUJUKAN

  1. Akta Makanan 1983 & Peraturan-Peraturan Makanan 1985
  2. Food and Agriculture Organization of the United Nations & World Health Organization.    
  3. Codex Alimentarius – General Principles of Food Hygiene (CXC  1-1969).
  4. Food Safety and Standards Authority of India (FSSAI) – FAQ: Calcium     Carbide.
  5. FSSAI – Advisory on Monitoring Sale of Fresh Fruits for Unauthorized Artificial Ripening Agents (2026).
  6. European Chemicals Agency. Registration, Evaluation, Authorization and Restriction of Chemicals (REACH).
  7. International Agency for Research on Cancer. IARC Monographs on the Identification of Carcinogenic Hazards to Humans.
  8. Agency for Toxic Substances and Disease Registry. Toxicological Profile for Arsenic and Medical Management Guidelines for Phosphine.