Anis Yasmin binti Ariffin, Ts. Nor Kamilah binti Mohamad Alwi, Ts. Zailina binti Abdul Majid
Klorin merupakan bahan kimia yang sangat reaktif dan digunakan secara meluas sebagai agen pembasmi kuman dalam rawatan sumber bekalan air minuman serta pelbagai aktiviti sanitasi di sepanjang rantaian makanan. Kawalan terhadap penggunaan bahan pembasmi kuman berasaskan klorin adalah penting bagi memastikan keberkesanannya dalam mengurangkan pencemaran mikrobiologi, khususnya mikroorganisma patogen, dalam bekalan air minuman, permukaan peralatan, kemudahan pemprosesan dan produk makanan. Oleh itu, penggunaan klorin mengikut had yang ditetapkan merupakan salah satu langkah penting bagi memastikan air dan makanan selamat untuk pengguna.
Walau bagaimanapun, perhatian bukan sahaja diberikan kepada keberkesanan klorin sebagai agen pembasmi kuman, tetapi juga kepada kemungkinan pembentukan hasil sampingan pembasmian kuman, termasuk klorat dan ion klorida. Kedua-dua bahan ini boleh hadir dalam air atau persekitaran pemprosesan makanan akibat penggunaan bahan pembasmi kuman berasaskan klorin pada kepekatan yang melebihi had yang ditetapkan dan boleh menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan makanan serta kesihatan manusia. Sebagai contoh, natrium hipoklorit yang digunakan sebagai bahan pembasmi kuman boleh mengalami proses penguraian dan menghasilkan klorat, terutamanya apabila disimpan untuk tempoh yang panjang atau dalam keadaan penyimpanan yang tidak sesuai. Di samping itu, klorin atau bahan berasaskan klorin juga boleh bertindak balas dengan bahan organik dan komponen lain dalam air, yang berpotensi menghasilkan pelbagai hasil sampingan, termasuk ion klorida, iaitu bentuk ion klorin yang lebih stabil dan lazim ditemui dalam makanan serta air.
Oleh itu, penggunaan klorin sebagai agen pembasmi kuman perlu mencapai keseimbangan antara keberkesanan kawalan mikrobiologi dengan pengawalan pendedahan kepada hasil sampingan kimia. Penggunaan klorin pada tahap yang tidak mencukupi boleh menjejaskan keberkesanan pembasmian kuman dan meningkatkan risiko pencemaran mikrobiologi, manakala penggunaan, penyimpanan atau pengendalian bahan berasaskan klorin yang tidak betul boleh menyumbang kepada pembentukan klorat dan klorit. Justeru, kawalan terhadap sumber, penggunaan dan pengendalian bahan berasaskan klorin adalah penting bagi memastikan keberkesanan sanitasi dicapai tanpa menjejaskan keselamatan makanan. Setiap pihak berkepentingan, termasuk pengendali loji rawatan air, pengeluar dan pengendali makanan, pihak berkuasa kawal selia serta pengguna, mempunyai peranan dalam memastikan bahan pembasmi kuman berasaskan klorin digunakan mengikut keperluan, dikendalikan dan disimpan dengan betul, serta risiko bahan kimia yang terhasil dapat diminimumkan.
|
SEBATIAN |
MEKANISME PENDEDAHAN |
KESAN TERHADAP KESIHATAN |
|
Klorin (Cl₂) |
Pernafasan |
Kerosakan paru-paru, kesukaran bernafas, iritasi pada kulit, mata, hidung dan tekak, boleh menyebabkan RADS (asma akibat pendedahan bahan kimia) (WHO, 2005). |
|
Klorida (Cl⁻) |
Oral |
Keracunan jarang berlaku sekiranya pengambilan air mencukupi, kesan jangka panjang akibat pengambilan secara berlebihan masih belum diketahui sepenuhnya (WHO, 2005). |
|
Klorat (ClO₃⁻) |
Oral |
Mengganggu penyerapan iodin oleh kelenjar tiroid, menyebabkan goiter (pembesaran tiroid), serta berisiko kepada bayi, wanita hamil dan individu yang mengalami kekurangan iodin (EFSA, 2015). |
Pada tahun 2025, beberapa akhbar tempatan dan laman sesawang antarabangsa telah melaporkan bahawa Coca-Cola telah menarik balik produknya yang melibatkan beberapa negara di Eropah kerana kandungan klorat melebihi had selamat yang ditetapkan (The Chemical Engineer, 2025).
Klorin penting dalam proses pembasmian kuman bagi memastikan sumber air yang digunakan sebagai air minuman atau dalam penghasilan produk minuman adalah selamat. Walau bagaimanapun, penggunaan klorin yang tidak dikawal dengan baik boleh menyumbang kepada pembentukan bahan sampingan seperti klorat yang berpotensi memberi kesan kepada kesihatan
Sehubungan dengan itu, kawalan terhadap sumber air, pemantauan kualiti air serta pengurusan proses pembasmian kuman yang berkesan adalah penting bagi mengurangkan risiko kehadiran klorat dalam produk minuman dan seterusnya melindungi kesihatan pengguna.
Peranan PKKM
Peranan Pengguna