Hepatitis A dalam Makanan

  I-MAS  ARTIKEL

Ani Fadhlina binti Mustaffa, Rohana binti Ani, Ts. Nor Kamilah binti Mohd Alwi, Sharizat binti Hj Ahmad dan Ts. Zailina binti Abdul Majid

Program Keselamatan dan Kualiti Makanan Kementerian Kesihatan Malaysia

APA ITU HEPATITIS A?

Hepatitis A ialah penyakit radang hati yang disebabkan oleh virus Hepatitis A (HAV). Menurut WHO, tempoh inkubasi Hepatitis A adalah antara 14 hingga 28 hari. Penyakit ini boleh menyebabkan simptom ringan hingga serius seperti demam, rasa loya, hilang selera makan, sakit perut, najis pucat, air kencing berwarna gelap dan kekuningan pada mata atau kulit (jaundis). Berbeza dengan Hepatitis B dan C, Hepatitis A tidak menyebabkan jangkitan kronik, tetapi dalam kes tertentu, ia boleh membawa kepada kegagalan hati akut (fulminant hepatitis) yang boleh membawa maut.

 

Rajah 1:

Beberapa petikan akhbar nasional berkaitan kesan Hepatitis A kepada kesihatan awam

BAGAIMANA HEPATITIS A BOLEH MENCEMARI MAKANAN?

Virus Hepatitis A merebak melalui laluan najis ke mulut (faecal-oral route) apabila seseorang yang belum dijangkiti mengambil makanan atau air yang tercemar dengan najis individu yang dijangkiti. Di Malaysia, kes Hepatitis A yang dilaporkan sering dikaitkan dengan pengambilan makanan tercemar atau penyediaan makanan tanpa amalan kebersihan yang betul. Kes Hepatitis A pernah dilaporkan di beberapa negeri termasuk Sabah, Sarawak dan Kelantan, melibatkan kluster kecil berpunca daripada air minuman dan makanan tidak dirawat. Pada tahun 2023, EFSA melaporkan kes wabak Hepatitis A di tiga negara yang melibatkan makanan seperti buah-buahan (beri dan jus). Walaupun kes menurun sejak beberapa tahun lalu, risiko masih wujud terutamanya di kawasan dengan bekalan air tidak dirawat atau sanitasi tidak sempurna.

 

Antara punca utama pencemaran Hepatitis A dalam makanan adalah seperti berikut:

  1. Kebersihan pengendali makanan contoh pengendali tidak membasuh tangan (sebagai contoh selepas ke tandas) sebelum mengendalikan makanan.
  2. Air mentah atau air tidak dirawat digunakan dalam penyediaan makanan atau minuman terutama di gerai jalanan.
  3. Makanan mentah dari perairan tercemar, seperti kerang, kupang atau tiram.
  4. Kontaminasi silang antara bahan mentah dan makanan sedia dimakan.

Beberapa jenis makanan yang sering dikaitkan dengan penularan Hepatitis A termasuk:

  1. Kerang, tiram dan kupang mentah yang dikutip dari kawasan perairan tercemar kumbahan.
  2. Sayur-sayuran dan buah-buahan yang dibasuh dengan air tercemar.
  3. Ais dan minuman tidak menggunakan bekalan air mentah terawat yang dimasak sempurna.
  4. Makanan sedia dimakan (seperti salad dan sandwic) disediakan oleh pengendali makanan yang dijangkiti virus Hepatitis A.

BAGAIMANA MENCEGAH HEPATITIS A DARIPADA MENCEMARI MAKANAN?

Kesedaran masyarakat amat penting untuk mengelakkan wabak penyakit ini. Pencegahan Hepatitis A sangat bergantung kepada amalan kebersihan diri, keselamatan makanan dan air bersih. Gabungan tanggungjawab individu dan pemantauan pihak berkuasa dapat memastikan makanan yang dimakan rakyat Malaysia selamat dan bebas daripada pencemaran virus Hepatitis A. Antara langkah yang boleh diambil untuk mencegah pencemaran Hepatitis A adalah seperti berikut:

  1. Amalkan kebersihan tangan setiap masa- Basuh tangan dengan sabun sebelum makan atau sebelum mengendalikan makanan dan selepas menggunakan tandas.
  2. Gunakan air bersih dan dirawat untuk minum, memasak dan mencuci makanan berbanding sumber air sungai atau telaga.
  3. Elakkan makan makanan mentah atau separuh masak dan masak makanan dengan sempurna khususnya makanan laut seperti kerang-kerangan. Berdasarkan tinjauan literatur, kajian spesifik berkaitan masa dan suhu memasak kerang bagi memastikan makanan tersebut bebas daripada virus hepatitis A adalah terhad. Berdasarkan kajian penyelidik lain, penyahaktifan lengkap virus Hepatitis A (HAV) dalam kerang-kerangan dapat dicapai selepas proses pemanasan (kukus) mencapai suhu dalaman antara 85°C hingga 90°C selama 1.5 minit. Manakala kajian lain pada tahun 2016 melaporkan masa memasak 2 minit pada suhu hampir 100°C dapat memusnahkan virus dalam kerang- kerangan tersebut sepenuhnya.
  4. Pastikan kebersihan dapur dan peralatan memasak.
  5. Ambil vaksin Hepatitis A, terutama bagi pengendali makanan dan individu yang berisiko tinggi.
 

KESIMPULAN

Hepatitis A adalah penyakit yang boleh dicegah. Dengan amalan kebersihan yang baik, akses kepada air bersih, serta vaksinasi, risiko jangkitan dapat dikurangkan. Seiring dengan keselamatan makanan adalah tanggungjawab bersama, kita perlu sedar bahawa kebersihan dalam penyediaan makanan bukan sahaja melindungi diri sendiri, tetapi juga masyarakat sekeliling.

Sumber Rujukan:

  1. WHO.   Fact   sheet:    Hepatitis    A.(12    February    2025).    https://www.who.int/news-room/fact- sheets/detail/hepatitis
  2. Ahmad F. Anti-hepatitis A seroprevalence among chronic viral hepatitis patients in Kelantan, Malaysia. World Journal of Gastroenterology. 2011;17(36):4130.
  3. EFSA. The European Union One Health 2023 Zoonoses report. EFSA Journal. 2024 Dec 1;22(12). https://efsa.onlinelibrary.wiley.com/doi/10.2903/j.efsa.2024.9106
  4. Sattar SA, Tetro J, Bidawid S, Farber J. Foodborne Pread of Hepatitis A: Recent Studies on Virus Survival, Transfer and Inactivation. Canadian Journal of Infectious Diseases [Internet]. 2000;11(3):159–63. Available from: https://downloads.hindawi.com/journals/cjidmm/2000/805156.pdf
  5. Rafidah Mat Zuki (6 Mei 2022). https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/05/952493/kkm-siasat-hepatitis-akut-dialami- kanak-kanak-lelaki-di-sabah
  6. https://www.utusanborneo.com.my/2018/02/22/dua-kes-hepatitis-a-orang-ramai-diseru-jaga- kebersihan-diri
  7. https://dayakdaily.com/state-health-dept-confirms-hepatitis-a-cases-in-samarahan/