Rohana binti Ani, Ani Fadlina binti Mustaffa, Ts. Nor Kamilah binti Mohd Alwi, Sharizat binti Hj Ahmad dan Ts. Zailina binti Abdul Majid
Program Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia
APA ITU PFAS?
Per- and polyfluorinated substances (PFAS) adalah kumpulan bahan kimia yang mula dihasilkan oleh manusia pada tahun 1940-an dan digunakan dalam pelbagai produk dalam industri pemprosesan seperti bahan salutan kepada produk fluoropolimer yang tahan haba, minyak, kekotoran, gris dan air. Contoh lain adalah seperti pakaian, kosmetik, barang-barang perabot, pelekat, pembungkus makanan dan permukaan memasak yang tidak melekat.
Menurut U.S. Environmental Protection Agency (EPA), terdapat dua (2) jenis bahan kimia daripada kumpulan PFAS yang digunakan secara meluas, iaitu perfluorooctanoic acid (PFOA) dan perfluorooctane sulfonate (PFOS). Antara sifat bahan kimia tersebut yang membimbangkan adalah proses penguraian yang sangat perlahan dan boleh terkumpul dalam badan manusia, haiwan dan alam sekitar. Sifat PFAS yang tahan haba, air, dan minyak menjadikannya berguna secara komersial, namun pada masa yang sama ia sangat sukar terurai di alam sekitar. Oleh sebab itu, PFAS sering digelar sebagai “bahan kimia abadi” (forever chemicals).
BAGAIMANA PFAS BOLEH MENCEMARI MAKANAN DAN KESAN KEPADA KESIHATAN?
PFAS boleh mencemarkan persekitaran semula jadi seperti air, tanah dan udara melalui sektor perkilangan atau apa-apa barang yang mengandungi bahan kimia tersebut dan terkumpul di tapak pelupusan. Hal ini secara tidak langsung boleh mencemarkan rantaian makanan sama ada jenis makanan yang mempunyai kontak dengan tanah, hidupan dalam sungai atau tasik dan saliran yang membentuk takungan air. PFAS boleh tersebar melalui udara dan terkumpul dalam atmosfera lalu berpotensi untuk mencemari sumber air melalui proses air hujan.
PFAS mudah diserap oleh tubuh badan manusia dan akan terus terkumpul disebabkan sifat bahan kimia tersebut yang memerlukan masa sangat lama untuk terurai sepenuhnya. Menurut kajian yang diterbitkan melalui platform Environmental Science and Technology, risiko terdedah kepada PFAS boleh menjejaskan tindak balas imun kanak-kanak terhadap vaksin, iaitu dengan mengurangkan kadar kepekatan serum antibodi dalam tubuh badan kanak-kanak. Risiko terdedah kepada bahan kimia tersebut turut mempengaruhi tahap kesuburan, meningkatkan risiko obesiti dan kanser, serta boleh mengganggu proses tumbesaran kanak-kanak.

PFAS boleh memasuki rantaian makanan melalui beberapa sumber utama:
Pengguna boleh mengambil langkah-langkah berikut untuk mengurangkan pendedahan harian terhadap PFAS:
Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa menjalankan pemantauan berterusan yang melibatkan aktiviti pemeriksaan dan pensampelan makanan di pasaran untuk menilai tahap risiko terhadap pencemaran kimia termasuk PFAS. PKKM juga bekerjasama dengan pelbagai agensi untuk menyokong penyelidikan berkaitan kehadiran dan kesan PFAS dalam makanan, serta meneruskan semakan piawai keselamatan makanan berdasarkan bukti saintifik dari semasa ke semasa.
Isu pencemaran PFAS dalam rantaian makanan memerlukan kerjasama bersepadu antara KKM sebagai pihak berkuasa dan industri makanan bagi memastikan pengurangan risiko secara berkesan. Pengguna juga boleh mengurangkan risiko pendedahan PFAS dengan memilih pembungkusan serta peralatan memasak yang selamat dan sentiasa mematuhi makluman keselamatan makanan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
2021 Nov.