SISTEM PENDIDIKAN PT&K
Pengenalan
Secara umumnya, kelayakan dan pencapaian akademik dalam pendidikan tinggi di Malaysia adalah seperti yang dihuraikan dalam Kerangka Kelayakan Malaysia (KKM). Pendidikan atau latihan seseorang individu yang mengamalkan Perubatan Tradisional dan Komplementari (PT&K) boleh dibahagikan kepada 2 jenis, iaitu Pengajian Tinggi dan Latihan Kemahiran.
Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari (BPTK) bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam pembangunan standard untuk program pengajian tinggi dan kemahiran PT&K.
Pembangunan Standard untuk Program Pengajian Tinggi PT&K di Malaysia
12 standard program pengajian tinggi PT&K (7 ijazah sarjana muda dan 5 diploma) telah dibangunkan dengan kerjasama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Sebahagian program yang telah dibangunkan kini ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) tempatan.
Pembangunan Standard untuk Latihan Kemahiran PT&K di Malaysia
BPTK merupakan salah satu pihak berkepentingan yang terlibat dalam pembangunan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SKPK) untuk latihan kemahiran PT&K. SKPK yang dikendalikan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), KSM merupakan dokumen yang menggariskan keterampilan yang diperlukan oleh seseorang pekerja mahir yang bekerja di Malaysia bagi sesuatu bidang dan tahap pekerjaan serta laluan untuk mencapai keterampilan tersebut.