Saiz Teks: A- A A+

| Pilihan Bahasa : English | Bahasa Melayu   |

LATAR BELAKANG

 

Dasar Perubatan Tradisional Dan Komplementari (PT&K) Kebangsaan telah dibangunkan pada tahun 2001 dan disemak semula pada tahun 2007. Dasar ini adalah penting dalam merangka pembangunan PT&K di Malaysia dan digunakan sebagai satu panduan bagi mencapai matlamat yang ditetapkan.

 

Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari (BPTK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), telah diwartakan di bawah Program Penyelidikan dan Sokongan Teknikal (P&ST) pada bulan Februari 2004.

 

Pada Januari 2006, Jemaah Menteri telah bersetuju dengan cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mewujudkan hospital integrasi, iaitu penyerapan perkhidmatan PT&K ke dalam sistem penjagaan kesihatan kebangsaan. Tiga (3) buah hospital kerajaan telah dikenalpasti sebagai perintis bagi pelaksanaan perkhidmatan PT&K dalam Rancangan Malaysia ke-9 iaitu:

  • Hospital Kepala Batas,Pulau Pinang – 2007;
  • Hospital Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya – 2008;
  • Hospital Sultan Ismail, Johor -2008.

 

Sehingga 2022, sejumlah empat belas (14) buah fasiliti kesihatan kerajaan telah menawarkan perkhidmatan PT&K termasuk (Senarai Terkini Unit PT&K, Sila Klik Di Sini):

  • Hospital Duchess of Kent, Sabah
  • Hospital Umum Sarawak, Sarawak
  • Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu
  • Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah
  • Hospital Port Dickson, Negeri Sembilan
  • Hospital Sultanah Hajah Kalsom, Pahang
  • Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kelantan.
  • Hospital Rehabilitasi Cheras, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur
  • Hospital Jasin, Melaka
  • Hospital Wanita dan Kanak-kanak, Sabah
  • Institut Kanser Negara, Wilayah Persekutuan Putrajaya

           

Pada 1 Mac 2013 BPTK telah melaksanakan penstrukturan semula dan diletakkan di bawah Program Perubatan. Penstrukturan ini adalah bagi memantapkan perkhidmatan PT&K di fasiliti kerajaan, di samping memastikan pembangunan halatuju, polisi, strategi dan aktiviti adalah selaras dengan objektif Program Perubatan.

 

Enam (6) jenis perkhidmatan PT&K telah disediakan iaitu urutan tradisional, penjagaan tradisional postnatal, akupunktur, terapi herba sebagai rawatan sampingan kanser, rawatan Shirodhara dan Terapi Basti Luaran. Bermula pada tahun 2018, KKM telah membangunkan Pelan Transformasi Penjagaan Tradisional Postnatal (PTP). Melalui pelan ini, perkhidmatan PTP di hospital-hospital kerajaan akan ditransformasikan ke peringkat penjagaan kesihatan primer.

 

Akta Perubatan Tradisional dan Komplementari (Akta 775) telah diwartakan pada 10 Mac 2016 dan mula dikuatkuasakan pada 1 Ogos 2016 secara berfasa.  Peraturan-Peratutan PT&K mula dikuatkuasakan pada 1 Mac 2021 di mana pendaftaran pengamal PT&K mula dilaksanakan di seluruh negara secara berperingkat. Melalui fasa ini, pengamal-pengamal PT&K yang mempunyai kelayakan dan kemahiran yang diiktiraf oleh Majlis PT&K akan didaftarkan dan menerima perakuan pengamal berdaftar bagi membolehkan mereka memberikan perkhidmatan PT&K kepada masyarakat.

 

     

Penafian: Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari tidak bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam laman ini.
Dasar Keselamatan | Dasar Privasi | Peta Laman | Bantuan
Paparan Terbaik Menggunakan Google Chrome Dengan Resolusi 1280 x 960.

  KEMASKINI TERAKHIR : 28 FEBRUARI 2025