MAKLUMAN UNTUK PENGAMAL PERUBATAN BERDAFTAR (PPB) YANG INGIN BERDAFTAR DALAM BIDANG PERUBATAN TRADISIONAL CINA (PTC) (SUBBIDANG AKUPUNKTUR) DI BAWAH AKTA PERUBATAN TRADISIONAL DAN KOMPLEMENTARI (PT&K) 2016 [AKTA 775]
Berdasarkan Akta PT&K 2016 (Akta 775), seseorang yang ingin mengamal dalam bidang amalan yang diiktiraf perlu berdaftar dengan Majlis PT&K. Bagi tujuan tersebut, Majlis PT&K telah bersetuju untuk golongan Pengamal Perubatan Berdaftar (PPB) yang memenuhi syarat tertentu dan ingin berdaftar dengan Majlis PT&K dalam tempoh peralihan untuk mengamal dalam bidang PTC (Subbidang Akupunktur) untuk menjalani Modul Pembangunan Kapasiti (MPK).
Sehubungan dengan itu, syarat kemasukan untuk menjalani MPK adalah :
- PPB yang mempunyai sekurang-kurangnya 5 tahun pengalaman dalam subbidang akupunktur yang telah disahkan dan pernah menghadiri kursus jangka pendek yang berkaitan dengan akupunktur. Jangka masa kursus pendek yang ditetapkan adalah sekurang-kurangnya 180 jam.
- PPB yang berumur kurang daripada 50 tahun dan mempunyai sekurang-kurangnya 10 tahun pengalaman dalam subbidang akupunktur yang disahkan tetapi belum pernah menghadiri apa-apa kursus yang berkaitan dengan akupunktur.
- PPB yang berumur lebih 50 tahun dan mempunyai tempoh pengalaman yang telah disahkan dalam subbidang akupunktur lebih daripada 5 tahun tetapi kurang daripada 10 tahun.
* PPB yang berumur lebih 50 tahun dan mempunyai sekurang-kurangnya 10 tahun pengalaman dalam subbidang akupunktur yang telah disahkan layak didaftarkan berdasarkan kaedah keperluan pengalaman dan adalah dikecualikan daripada MPK.
Maklumat Pusat Latihan MPK bagi PTC (subbidang akupunktur) yang telah diluluskan oleh Majlis PT&K boleh didapati di laman web rasmi Bahagian Perubatan Tradisional dan Komplementari di (https://hq.moh.gov.my/tcm/ms/index.php/senaraipusatlatihanmpk). Sila berurusan dengan Pusat Latihan MPK tersebut untuk mendapatkan maklumat terperinci berkenaan pengendalian MPK, termasuk komponen penilaian untuk MPK tersebut.
