Skip to main content

Cawangan Pengurusan Risiko Dan Survelan Klinikal

6th NATIONAL PAIN FREE CONFERENCE 2026

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, YBhg. Datuk Dr. Mahathar bin Abd Wahab, telah merasmikan 6th National Pain Free Conference 2026 pada 21 Oktober 2026 bertempat di Dewan Seri Siantan, Putrajaya. Persidangan yang berlangsung selama dua hari, dari 21 hingga 22 Oktober 2026 ini membawa tema “Bridging Fraternities, Transforming Care”.

Majlis ini turut dihadiri oleh YBrs. Dr. Juliana binti Abdul Latiff, Pakar Perunding Pembedahan Payudara dan Endokrin, Hospital Selayang merangkap Pengerusi 6th National Pain Conference 2026, YBrs. Dr. Azlihanis binti Abdul Hadi, Timbalan Pengarah, Cawangan Pengurusan Risiko dan Survelan Klinikal serta YBrs. Dr. Aminuddin bin Ahmad, Pakar Perunding Kanan Anestesiologi dan Rawatan Rapi, Hospital Putrajaya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program Bebas Kesakitan Kebangsaan.

Persidangan ini menghimpunkan seramai 520 orang peserta daripada pelbagai disiplin dan profesion kesihatan bagi berkongsi ilmu, pengalaman serta amalan terbaik dalam memperkukuh pengurusan kesakitan melalui kerjasama multidisiplin, amalan berasaskan bukti dan pendekatan penjagaan yang berfokuskan pesakit.

Dalam ucapan perasmiannya, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia menekankan bahawa pengurusan kesakitan bukan sekadar pemberian ubat tahan sakit, malah merangkumi penilaian yang sistematik, intervensi yang bersesuaian, pemantauan berterusan serta penglibatan pesakit dan keluarga dalam proses penjagaan.

Kementerian Kesihatan Malaysia komited untuk terus memperkasakan Program Bebas Kesakitan sebagai sebahagian daripada agenda kualiti dan keselamatan pesakit, demi memastikan setiap pesakit menerima penjagaan yang berkualiti, selamat dan berperikemanusiaan.

Semoga persidangan ini menjadi pemangkin kepada pengukuhan kerjasama merentas disiplin serta pelaksanaan penambahbaikan berterusan dalam pengurusan kesakitan di seluruh fasiliti kesihatan negara.

Kerjasama merentas disiplin, penjagaan lebih berkualiti, pesakit diutamakan.

#KKM #NationalPainFreeConference2026 #PainFreeProgramme #PatientSafety #QualityHealthcare