Pada 23 hingga 24 Februari 2023: YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia mewakili YB Menteri Kesihatan Malaysia bersama wakil Unit Keselamatan Pesakit, Cawangan Kualiti Penjagaan Perubatan, Kementerian Kesihatan Malaysia telah menghadiri pesidangan “5th Global Ministerial Summit on Patient Safety” di Monteux, Switzerland.
Persidangan bersejarah ini telah dihadiri oleh lebih 600 pakar dalam bidang Keselamatan Pesakit serta hampir 80 orang delegasi menteri seluruh dunia. Tema persidangan pada tahun ini adalah ‘Less Harm, Better Care – from Resolution to Implementation’. Objektif utama persidangan adalah untuk berkongsi pengalaman, cabaran serta pencapaian keselamatan pesakit negara-negara yang terlibat, merangka penyelesaian (solutions) bagi isu keselamatan pesakit serta membincangkan pengalaman serta pengajaran daripada pandemik COVID-19.
Pada hari kedua persidangan, delegasi seluruh dunia telah bersetuju bahawa keselamatan pesakit merupakan agenda utama dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan dan tindakan di peringkat antarabangsa adalah penting bagi memelihara keselamatan pesakit di peringkat global. Malaysia turut menyatakan sokongan penuh bagi ‘Montreux Charter’ serta pelaksanaan Pelan Tindakan Keselamatan Pesakit Peringkat Global 2021-2030 yang telah dimeterai semasa Perhimpunan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHA) ke-74.



