1st Global Surgery Conference di Kuching, Sarawak

Pada 19 Mac 2023 telah berlangsungnya perasmian the 1st Global Surgery Conference di Kuching, Sarawak oleh YB Menteri Kesihatan. Turut hadir bersama upacara perasmian ini YB Prof. Dato Sri Dr. Sim Kui Hian, Timbalan Premier Negeri Sarawak.

Sebagai komitmen Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memperkasakan penyampaian perkhidmatan kesihatan, Kementerian telah bekerjasama dengan Persatuan Pendidikan Lanjutan Pembedahan Hospital Umum Sarawak, Persatuan Perfusi Negeri Sarawak, Persatuan Post-Graduate Obstetric & Gynaecology Sarawak, Persatuan Post-Graduate Orthopaedic Sarawak untuk menganjurkan The 1st Global Surgery Conference – The New Dawn.

Persidangan yang telah menarik minat dari dalam dan luar negara ini bermatlamat untuk memperkembangkan inisiatif Global Surgery serta mewujudkan persefahaman kepada semua pemegang taruh sebagai satu agenda nasional dan berkongsi pengetahuan dalam merealisasikan inisiatif ini di Malaysia.

Fokus utama agenda Global Surgery ini adalah untuk merapatkan jurang dalam penyampaian perkhidmatan kesihatan serta menyediakan akses kepada perkhidmatan pembedahan asas dan kritikal dalam keadaan yang selamat, berkesan dan tidak membebankan pesakit dan Kerajaan. KKM komited dalam usaha untuk memastikan rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan yang setara di seluruh negara. Dengan penganjuran persidangan ini, diharapkan agar ianya dapat membuka peluang jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak samada di peringkat tempatan dan juga antarabangsa dalam memperkukuhkan inisiatif Global Surgery di rantau ini. Tahniah dan syabas kepada semua yang terlibat dalam menganjurkan persidangan ini dan KKM menggesa agar semua pihak menyokong inisiatif ini, demi untuk meningkatkan akses dan kesaksamaan dalam penyediaan perkhidmatan pembedahan asas dan kritikal berhampiran dengan masyarakat.