SEKTOR KESIHATAN ORANG KURANG UPAYA - PENGENALAN
- Program penjagaan kesihatan bagi Orang Kurang Upaya (OKU) dirancang selaras dengan transformasi kesihatan di mana penjagaan kesihatan yang baik disediakan untuk masyarakat dan berhampiran dengan masyarakat, fokus kepada penjagaan perawatan kesihatan secara holistik. Perkhidmatan kesihatan kepada golongan OKU merangkumi aktiviti promosi dan saringan kesihatan, pengesanan awal ketidakupayaan, intervensi dan rawatan awal, rehabilitasi, rujukan ke pakar perubatan atau agensi/kementerian berkaitan sekiranya diperlukan.
- Program kesihatan OKU dirancang dan dilaksanakan selaras dengan Pelan Tindakan Penjagaan Kesihatan Bagi OKU 2011-2020, Pelan Tindakan OKU Kebangsaan 2016-2022, Akta OKU 2008 dan Konvensyen Mengenai Hak-hak OKU 2008 (The Plan of Action of Health Care For PWDs 2011-2020, National Plan of Action for PWD 2016-2022, PWD Act 2008 and The Convention on The Rights of PWD 2008). Dua jawatankuasa utama yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia ialah Jawatankuasa Teknikal Kesihatan OKU dan Jawatankuasa Quality Life Care Bagi OKU, dibawah Majlis Kebangsaan Bagi OKU, diadakan pada setiap tahun bagi memantau pembangunan dan pelaksanaan program-program kesihatan untuk OKU di Malaysia.
- Bermula pada tahun 1986, perkhidmatan kesihatan bagi OKU di kesihatan primer adalah tertumpu kepada perkhidmatan kesihatan untuk kanak-kanak berkeperluan khas (KKKK) dimana program yang dilaksanakan fokus kepada pengesanan awal masalah ketidakupayaan, intervensi awal, dan rujukan ke hospital untuk rehabilitasi.
- Pada tahun 1996, di bawah Rancangan Malaysia Ke-7 (RKM-7), perkhidmatan perubatan rehabilitasi telah dimulakan di klinik kesihatan yang terpilih, di mana rehabilitasi asas disampaikan oleh Jururawat Kesihatan Awam Terlatih dan diselia oleh ahli terapi dari hospital major berpakar terdekat. Pada tahun 2003, Pegawai Pemulihan/Jurupulih Perubatan Fisioterapi dan Carakerja mula ditempatkan di klinik kesihatan terpilih bagi menampung penambahan keperluan pemulihan rehabilitasi di komuniti. Skop perkhidmatan rehabilitasi diperluaskan secara berperingkat kepada KKKK, warga emas dan rehabilitasi psikososial, termasuk menjalankan program outreach di institusi, pusat pemulihan dalam komuniti (PDK), sekolah dan di rumah pesakit.
- Bermula tahun 2006, penekanan diberikan kepada membangunkan perkhidmatan kesihatan untuk OKU dewasa disamping memperkukuh dan meningkatkan kualiti perkhidmatan untuk KKKK. Bagi meningkatkan kualiti dan liputan perkhidmatan kesihatan kepada OKU, beberapa aspek dirancang secara khusus iaitu pencegahan dan pengesanan awal ketidakupayaan, perkhidmatan rehabilitasi serta pendidikan kesihatan berterusan kepada masyarakat.
- Menyedari kepentingan penjagaan kesihatan OKU secara menyeluruh, perkhidmatan kesihatan telah diperluaskan ke komuniti iaitu di institusi jagaan dan di rumah pesakit. Melalui program outreach ‘PDK Ku Sihat’, perkhidmatan kesihatan disampaikan kepada OKU dan petugas di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, bermula pada tahun 2012. Anggota kesihatan terutamanya Jururawat dan dibantu oleh pasukan pelbagai disiplin menjalankan aktiviti penggalakan amalan gaya hidup sihat seperti pemakanan yang sihat dan seimbang, aktiviti fizikal, saringan status kesihatan, rehabilitasi, intervensi dan rawatan awal. Petugas PDK juga diperkasakan dalam aktiviti senaman asas bagi membolehkan mereka menjalankan aktiviti fizikal tersebut secara konsisten kepada pelatih OKU di PDK.
- Pada tahun 2014, Perkhidmatan Perawatan Domisiliari (PPD) di kesihatan primer diperkenalkan di 160 klinik kesihatan terpilih di seluruh Malaysia. Objektif utama perkhidmatan ini adalah untuk memastikan kesinambungan penjagaan pesakit terlantar stabil yang didiscaj dari hospital, memperkasa penjaga/keluarga mengenai aspek penjagaan pesakit, dan mendidik pesakit tentang penjagaan kendiri yang berkualiti di rumah mereka. Sejak diperkenalkan, perkhidmatan ini telah memberi banyak manfaat kepada pesakit dan penjaga/ahli keluarga mereka dari segi mengurangkan beban dalam menguruskan pesakit, meningkatkan pengetahuan dan kemahiran penjaga/ahli keluarga dalam penjagaan pesakit, mengurangkan risiko mendapat jangkitan hospital dan komplikasi lanjut, serta pesakit dapat pulih di rumah dalam suasana persekitaran mereka. Perkhidmatan ini disokong oleh pasukan perubatan pelbagai disiplin (Multidisciplinary Team – MDT) sedia ada di klinik kesihatan.





