SEKTOR KESIHATAN ORANG KURANG UPAYA - SKOP PERKHIDMATAN
- Perkhidmatan Kesihatan Bagi Kanak-kanak Berkeperluan Khas (KKKK)
Di samping memberikan perkhidmatan di klinik kesihatan, perkhidmatan untuk KKKK juga turut diperluaskan ke komuniti melalui program outreach di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dan institusi jagaan di bawah kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia, sekolah serta di rumah.
- Pendaftaran Sebagai OKU
Pengesahan ketidakupayaan boleh dilakukan oleh pegawai perubatan di fasiliti kesihatan kerajaan atau pengamal perubatan yang berdaftar di bawah Akta Perubatan 1971 (Akta 50) yang mengendalikan mana-mana kemudahan jagaan kesihatan swasta. Seseorang yang ingin mendaftar bagi tujuan mendapatkan Kad OKU perlu memastikan bahawa Borang Permohonan Pendaftaran OKU (BPPOKU (Pindaan 2019)) telah diisi dan disahkan oleh pegawai/pengamal perubatan serta diserahkan kepada JKMM.
Borang Permohonan Pendaftaran OKU perlu diisi dalam 4 salinan dan diserahkan kepada pihak berikut:
- Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia untuk pendaftaran
- Jabatan Pendidikan untuk perkhidmatan perancangan pendidikan
- Klinik Kesihatan / Hospital untuk dokumentasi
- Ibu bapa / Penjaga bagi rekod penyimpanan selamat
*Borang Permohonan Pendaftaran OKU boleh diakses melalui pautan berikut: https://www.jkm.gov.my/jkm/uploads/files/JPOKU/BPPOKU%20PINDAAN%202019(2).pdf
*Borang Permohonan Pendaftaran OKU juga boleh diisi secara dalam talian dan dicetak melalui pautan berikut: http://oku.jkm.gov.my/
*Maklumat lanjut berkenaan pendaftaran OKU dan keistimewaan OKU berdaftar boleh diperolehi daripada laman sesawang JKM (https://www.jkm.gov.my/jkm/uploads/files/JPOKU/Bahan%20Artikel%20Risalah%20GP/BROCHURE%202020%20PERMOHONAN%20PENDAFTARAN%20OKU%20DAN%20KEISTIMEWAAN%20KEPADA%20OKU%20BERDAFTAR%202020.pdf) Objektif Pendaftaran OKU adalah: i. Untuk mengetahui bilangan, taburan dan kategori OKU di negara ini bagi maksud merancang program dan perkhidmatan berkaitan dengan pencegahan, pendidikan, habilitasi dan rehabilitasi serta latihan. ii. Untuk merancang penyediaan kemudahan yang bersesuaian dengan keperluan OKU iii. Untuk membolehkan OKU yang berdaftar mendapat perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan berdasarkan tahap kefungsian / ketidakupayaan mereka.
- Perkhidmatan Rehabilitasi di Kesihatan Primer
Perkhidmatan rehabilitasi di kesihatan primer ditawarkan kepada pesakit/klien dari semua peringkat umur, meliputi aspek promosi dan pencegahan serta rawatan dan rehabilitasi. Pengurusan pesakit/klien dilakukan secara menyeluruh melalui pendekatan pelbagai kepakaran atau “interdisciplinary model of care” di klinik kesihatan dan juga di hospital.
Sehingga Jun 2023, seramai 432 Pegawai Pemulihan/Jurupulih Perubatan Fisioterapi, 294 Pegawai Pemulihan/Jurupulih Perubatan Carakerja dan 3 Pegawai Pemulihan Perubatan Pertuturan telah ditempatkan di 263 (30%) klinik kesihatan seluruh Malaysia dan memberikan perkhidmatan rehabilitasi di fasiliti kesihatan primer dan di komuniti.
- Perkhidmatan Perawatan Domisiliari dan Sko Perubatan Paliatif
- Perkhidmatan berhampiran dengan masyarakat / rumah; (care provided at home or closer to home);
- Memastikan kesinambungan penjagaan kesihatan (seamless continous care);
- Menggalakkan penjagaan kendiri (self help);
- Memperkasakan penjaga dalam penjagaan kesihatan pesakit (services tailored as much as possible to individualized care);
- Mengurangkan kesesakan di hospital;
- Mengurangkan kos penjagaan hospital dan komplikasi akibat kemasukan lama dalam hospital;
- Menggalakkan penyembuhan awal dalam suasana persekitaran di rumah (person focused)
- Perkhidmatan Kesihatan di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK)
Selaras dengan itu, bermula tahun 2012 perkhidmatan kesihatan mula diberikan kepada OKU yang hadir ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK), dibawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia (JKMM), dalam kawasan operasi klinik kesihatan melalui program PDK KU SIHAT. Anggota kesihatan memberikan tunjuk ajar kepada petugas PDK dalam teknik pengurusan OKU yang betul dan selamat, memberi khidmat nasihat mengenai penyediaan makanan dan menu yang sihat serta mengajar aktiviti fizikal yang selamat. Selain itu, anggota kesihatan juga melakukan saringan kesihatan ke atas klien OKU di PDK bagi mengenalpasti awal masalah penyakit tidak berjangkit (non-communicable disease – NCD), melakukan intervensi dan rawatan awal serta rehabilitasi.
Saban tahun, sebanyak hampir kesemua PDK berdaftar dengan JKM di seluruh negara telah dilawati dan dianggarkan sebanyak 20,000 OKU di PDK telah mendapat manfaat perkhidmatan kesihatan setiap tahun.
- Kesihatan Seksual dan Reproduktif Dalam Kalangan Kanak-kanak dan Remaja Berkeperluan Khas
Pada tahun 2009, Modul Latihan “Live Life, Stay Safe”, Training Module on Reproductive Health for Children and Adolescents with Disability telah diterbitkan dan dilancarkan. Ia merupakan satu modul yang dibentuk sebagai medium rujukan anggota kesihatan bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam menyampaikan perkhidmatan kesihatan dan kesedaran berkenaan kesihatan seksual dalam kalangan kanak-kanak dan remaja berkeperluan khas. Modul ini juga sesuai digunakan oleh petugas di institusi, para pendidik dan ibubapa kerana modul latihan ini menggunakan bahasa yang mudah difahami, ilustrasi yang menarik dan kaedah pengajaran yang interaktif.
Antara kandungan modul adalah seperti berikut:
- Apa yang awam dan apa yang sulit?: Bahagian badan, tempat dan kelakuan
- Komunikasi
- Perasaan dan emosi
- Batas Hubungan
- Sentuhan OK dan Tak OK
- Keselamatan Diri - NO, GO dan TELL
- Latihan Kepada Penjaga dan Keluarga
Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia sedang giat memperkasakan ahli keluarga/penjaga dan petugas di institusi dalam aspek penjagaan OKU melalui latihan, serta melatih anggota kesihatan yang memberikan perkhidmatan perawatan pesakit di rumah.
Latihan yang dilaksanakan adalah menggunapakai manual sedia ada iaitu “Manual Latihan Bagi Penjaga: Jagaan Asas Orang Kurang Upaya di Institusi dan di Rumah”. Manual ini menyediakan maklumat penjagaan OKU secara holistik dan meliputi aspek fizikal, mental serta kesihatan sosial seseorang klien. Isi kandungan manual ini diklasifikasikan di bawah 5 tajuk iaitu jagaan am, pemakanan, jagaan fizikal, komunikasi dan rekreasi, menangani masalah stress atau tekanan serta rawatan asas kecemasan.





