Kursus Pemandu Ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
Mesyuarat Pasca Kabinet KKM Bil 25/2019 bertarikh 25 September 2019 telah meminta supaya Bahagian Pembangunan Kompetensi (BPK) untuk melihat semula modul latihan pemanduan ambulans dengan kerjasama dan penglibatan dari Bahagian Perkembangan Perubatan, Bahagian Kawalan Penyakit (Sektor Kesihatan Pekerjaan dan Alam Sekitar), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Bahagian-bahagian berkaitan.
Mesyuarat Pembangunan Kerangka Modul Kursus Pemanduan Ambulan KKM yang diadakan pada 13 November 2019 yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) KKM telah bersetuju Kursus Pemanduan Ambulans dilaksanakan.
BPK seterusnya melalui kerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Jabatan Kecemasan KKM telah melaksanakan Bengkel Pembangunan Modul Pemanduan Ambulans dan telah berjaya membangunkan 14 modul bagi pelaksanaan Kursus Pemanduan Ambulans pada masa akan datang dengan mensasarkan seramai 2,600 orang pemandu ambulans seluruh Malaysia.
Objektif kursus ini diadakan adalah untuk
- Memberi pengetahuan, melatih dan menilai kompetensi pemandu ambulans dengan menggunakan konsep pemanduan ambulans secara berhemah;
- Meningkatkan kualiti perkhidmatan memandu dan memberi pentauliahan sebagai pemandu ambulans yang professional;
- Selain itu, dengan latihan praktikal yang akan diberi, kursus ini dapat memotivasi mereka untuk menjadi lebih yakin, berjaga-jaga dan menyemai nilai positif dalam pemanduan serta mendidik mereka untuk menjadi lebih mahir dan berpengetahuan.
