Pengiktirafan

Sumbangan yang diberikan oleh ahli-ahli Panel Penasihat Klinik Kesihatan adalah besar ertinya dalam usaha untuk membentuk sebuah masyarakat yang sihat kearah mencapai taraf sebuah negara maju.  Sebagai menghargai sumbangan yang diberikan beberapa inisiatif telah dilaksanakan seperti mengadakan majlis perlantikan rasmi di peringkat daerah/negeri, pemberian surat dan sijil perlantikan serta kad pengenalan diri, mengadakan majlis mengenang jasa di peringkat daerah/negeri bagi menghargai sumbangan mereka yang telah lama berkhidmat secara sukarela, menjemput ahli-ahli panel ini ke majlis-majlis yang sesuai yang dikendalikan oleh Kementerian/Jabatan Kesihatan, melibatkan mereka dalam aktiviti pembelajaran sama ada melalui latihan khas atau lawatan sambil belajar untuk mendalami lagi pengetahuan mereka mengenai kesihatan khususnya aspek pencegahan penyakit dan kemudahan wad kelas dua dihospital kerajaan.

Aktiviti

Aktiviti Yang Dilaksanakan          

Diantara aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan oleh Panel Penasihat adalah seperti berikut:

  1. Menganjurkan Hari Terbuka di klinik kesihatan bagi mendedahkan dan mendekatkan masyarakat kepada aktiviti-aktiviti yang dikehendaki di klinik tersebut.
  2. Menganjurkan kempen, pemeriksaan kesihatan perubatan, ceramah dan dialog kesihatan berjadual di lokasi-lokasi strategik di dalam kawasan operasi.
  3. Menganjurkan aktiviti-aktiviti gotong-royong sama ada di klinik kesihatan, kawasan-kawasan awam yang lain atau di kawasan-kawasan awam yang lain atau di kawasan penempatan bagi menggalakkan penjagaan alam sekitar yang bersih.
  4. Menggalakkan penglibatan anggota masyarakat menjalankan beberapa aktiviti mudah seperti mengukur tinggi/berat, `defaulter tracing’ dan lain-lain sama ada di klinik atau di kawasan penempatan khususnya apabila diadakan kempen atau lawatan kesihatan bergerak.
  5. Membantu dalam melibatkan anggota masyarakat dalam menyebarkan maklumat kesihatan dengan tepat, mudah, murah, cepat dan berkesan.
  6. Membantu dalam memberikan khidmat nasihat kesihatan kepada anggota masyarakat yang menghadapi risiko tinggi supaya segera mendapatkan rawatan.
  7. Membantu mengembeling sumber yang terdapat di dalam masyarakat untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti menambahbaikkan kemudahan-kemudahan kesihatan khususnya untuk keselesaan dan kesejahteraan pengguna.
  8. Membantu mengenal pasti anggota masyarakat setempat yang boleh dilatih dalam beberapa aspek kesihatan bagi membolehkan mereka menjadi sukarelawan kesihatan yang mampu mengendalikan aspek pencegahan dan rawatan penyakit ringan.
  9. Lain-lain aktiviti yang boleh mendatangkan kebaikan kepada masyarakat tetapi tidak bertentangan dengan polisi Kementerian Kesihatan Malaysia.

Bidang Kuasa

Bidang Kuasa Panel Penasihat Kesihatan

  • Panel Penasihat Kesihatan berfungsi dengan berlandaskan kepada konsep musyawarah dan perkongsian pintar, di mana perjumpaan yang kerap diatur bagi membolehkab pertukaran dan pandangan diadakan.
  • Panel Penasihat boleh merancang, melaksana dan menilai sebarang aktiviti yang berkaitan dengan kesihatan bagi kepentingan penduduk setempat asalkan tidak menyentuh aspek-aspek teknikal dan pentadbiran atau bertentangan dengan dasar-dasar dan peraturan-peraturan Kementerian Kesihatan dan Kerajaan Malaysia. 
  • Pejabat Kesihatan Daerah/Jabatan Kesihatan Negeri/Ibu pejabat KKM berhak meminda keputusan yang dibuat oleh Panel Penasihat.
  • Setiap ahli panel hendaklah sentiasa bersikap terbuka dan bertanggungjawab khususnya dalam merancang aktiviti-aktiviti yang boleh dimanafaatkan oleh masyarakat.  Pengerusi panel boleh mmeninta bantuan daripada mana-mana ahli untuk menjalankan aktiviti/projek yang dipersetujuai itu.
  • Bidang tugas panel penasihat merangkumi memberi nasihat dan bantuan kepada pesakit di dalam merujuk mereka ke klinik kesihatan atau hospital kerajaan.

Objektif

Objektif Umum

 Untuk mewujudkan saluran komunikasi dua hala yang lebih berkesan sebagai satu forum interaksi antara anggota masyarakat dan kakitangan Jabatan Kesihatan, kearah menggalakkan penglibatan sepenuhnya masyarakat dalam usaha mencapai matlamat “Kesihatan Untuk Semua”.

Objektif Khas

  • Untuk mempercepatkan dan mempermudahkan penyaluran maklumat-maklumat yang tepat berkaitan masalah kesihatan setempat kepada masyarakat;
  • Untuk mengambilkira pendapat dan pandangan ahli masyarakat dalam perancangan perlaksanaan sesuatu aktiviti kesihatan supaya ianya bersesuaian dengan keadaan dan budaya setempat;
  • Untuk mendapatkan maklumbalas yang tepat dari masyarakat berkaitan masalah-masalah dan keberkesanan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan;
  • Untuk mengujudkan sikap tanggungjawab bersama antara masyarakat dan Jabatan Kesihatan dalam menangani masalah kesihatan;
  • Untuk mempertingkatkan lagi imej Jabatan Kesihatan pada pandangan masyarakat melalui pendekatan pengurusan yang telus di samping dapat mengurangkan salah faham antara kedua pihak.