YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi bin Abu Hassan, Ketua Pengarah Kesihatan telah merasmikan Majlis Pelancaran Siri Panduan Diet Malaysia dan Inisiatif Healthy Eating Responsibility for Women atau “HER” di Putrajaya hari ini. Siri Panduan Diet Malaysia ini merupakan dokumen saintifik yang diterbitkan khas mengandungi maklumat terkini serta saranan pendekatan untuk mencapai mesej-mesej utama dalam setiap Panduan Diet Malaysia. Ianya meliputi Panduan Diet Malaysia untuk Kanak-kanak dan Remaja, Maternal, Warga Emas dan Vegetarian.
Manakala, Inisiatif HER pula dibentuk sebagai kesinambungan dan terjemahan kepada Panduan Diet Malaysia untuk Maternal bagi mencegah dan mengawal masalah pemakanan yang berlaku dalam kalangan wanita umur reproduktif (15 - 49 tahun). Turut hadir, YBhg. Datuk Dr. Norhayati binti Rusli Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) dan YBrs. Emeritus Prof. Dr. Mohd Ismail Noor, Pengerusi Kumpulan Kerja Teknikal Garis Panduan Pemakanan.