Medical Development Division

PROGRAM PERUBATAN

Kementerian Kesihatan Malaysia Kompleks E, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
W.P. Putrajaya

Sesi Lawatan Kerja Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan(Perubatan) Ke Hospital Bau, Sarawak

Pada 5 Mei 2023, YBhg. Dato’ Dr Asmayani Khalib, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Hospital Bau. Ketibaan beliau beserta rombongan telah disambut baik oleh Pengarah Hospital Bau, Dr. Jasmany Anak Liboh, pegawai serta kakitangan hospital. Tarian selamat datang penuh budaya etnik Sarawak oleh staf pengurusan Hospital Bau turut diadakan sebagai tanda penghargaan ke atas kunjungan ini.

Satu taklimat ringkas mengenai Hospital Bau yang telah dibentangkan Pengarah Hospital. Hospital Bau merupakan hospital daerah tanpa pakar yang telah dibina pada tahun 1988 dan telah siap dibina pada tahun 1990. Buat masa sekarang Hospital Bau mempunyai seramai 256 kekuatan anggota yang terdiri daripada kategori pengurusan dan profesional, paramedik dan auksilari serta kumpulan sokongan gunasama.

Hospital Bau beroperasi sepenuhnya pada 9 Januari 1991 dengan menawarkan perkhidmatan Kecemasan dan trauma, perkhidmatan pesakit luar, perkhidmatan pesakit dalam dan perkhidmatan sokongan klinikal kepada penduduk di daerah Bau. Hospital Bau merupakan non-lead hospital dalam Hospital Kluster Sarawak Selatan sejak tahun 2019 dan turut aktif terlibat dalam pelaksanaan Inisiatif Global Surgery inisiatif dalam tahun yang sama. Sejak penglibatan di dalam Inisiatif Global Surgery, bilangan pembedahan yang dilakukan di dewan bedah Hospital Bau juga telah meningkat, dan pada tahun 2022, sebanyak 300 pembedahan telah dilakukan di Dewan Bedah Hospital Bau. Perancangan pihak hospital termasuklah menaik taraf Dewan Bedah dan pembangunan blok klinik baru bagi menampung keperluan penduduk Daerah Bau pada masa akan datang.

Selesai taklimat, YBhg. Dato’ TKPK(P) dan rombongan dibawa melawat sekitar kawasan Hospital Bau. Baliau berpeluang meninjau hampir kesemua unit/ wad, serta melihat sendiri kekangan ruang bangunan dan peralatan perubatan yang terdapat di Hospital Bau. Beliau juga mengambil kesempatan untuk bersuai kenal dengan kakitangan Hospital Bau.

Sesi lawatan ringkas ini menjadi platform pihak Hospital mengutarakan isu-isu berbangkit yang memerlukan perhatian pihak JKN dan Ibu Pejabat KKM. Pelbagai idea dan cadangan terhasil dan akan diperhalusi pihak-pihak berkaitan demi memastikan Hospital Bau terus memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada penduduk sekitar.