Pada 5 Mei 2023 lalu, YBhg Dato’ Dr Asmayani Khalib, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) telah mengadakan lawatan kerja ke Pusat Jantung Sarawak. Ini merupakan kali pertama beliau berkunjung ke sini, dan kehadiran beliau telah disambut baik oleh Pengarah Hospital dan seluruh warga kerja Pusat Jantung Sarawak.
Pusat Jantung Sarawak merupakan institusi perubatan khas di dalam Kluster Sarawak Selatan, yang pada mulanya beroperasi sebagai Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak sejak 1 Januari 2011. Institusi ini menawarkan perkhidmatan Kardiologi, Pembedahan Kardiotorasik dan Anaestesiologi, Kardiotorasik dan Perfusi sebagai perkhidmatan utama. Bagi mengurangkan bebanan yang dialami Hospital Umum Sarawak, perkhidmatan Geriatrik dan Pembedahan Urologi juga turut mula ditawarkan di sini pada tahun 2012.
Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak dijadikan pusat tanggungjawab sendiri dan dinamakan semula sebagai Pusat Jantung Sarawak pada tahun 2016. Kini, Pusat Jantung Sarawak beroperasi sebagai satu-satunya pusat rujukan kardiologi dan kardiotorasik bagi seluruh Wilayah Sarawak, beroperasi dengan 138 katil, dan 825 kakitangan termasuklah 74 pegawai kontrak pelbagai bidang.
Lawatan dimulakan dengan taklimat ringkas daripada Pengarah Hospital Pusat Jantung Sarawak, Dr Hj Mohd Asri bin Riffin berkenaan latar belakang dan aktiviti hospital. Perbincangan tentang isu-isu yang dihadapi juga turut dilakukan bersama pengurusan hospital dan pakar-pakar perubatan yang hadir. Selepas itu, YBhg TKPK(Perubatan) telah dibawa melawat ke beberapa kawasan sekitar hospital antaranya ke General ICU, Non Invasive Cardiology Lab, NICL serta meninjau Jabatan Radilogi yang menempatkan mesin MRI yang terbaharu di rantau Asia Pasifik. Beliau juga sempat meluangkan masa di galeri seni Pusat hantung Sarawak yang menempatkan karya seni hasil sentuhan artis dan pereka tempatan yang mempamerkan karya mereka dengan kerjasama Yayasan Jantung Sarawak.

