Pada 23 November 2021, YBhg Dato’ Dr. Asmayani (Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Perubatan) telah dijemput untuk merasmikan Majlis Kemuncak Sambutan Hari Warga Emas Antarabangsa (‘International Day of Older Persons 2021’) Peringkat Hospital Kuala Lumpur. Turut hadir bersama Timbalan Pengarah Kanan, Cawangan Perkembangan Perkhidmatan Perubatan, Datin Seri Dr Asmah binti Samat, Pengarah Hospital Kuala Lumpur, Dr Rohana bt Johan, Timbalan Pengarah Perubatan, Dr Shahrum binti Ismail dan Ketua Jabatan Perubatan Am, merangkap Ketua Perkhidmatan Perubatan Geriatrik KKM, Dr Yau Wen Keong. Penampilan istimewa: Dr Lee Fatt Soon, Mantan Ketua Perkhidmatan Geriatrik KKM.
Sambutan Hari Warga Emas pertama kali telah diperkenalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1990 dan diraikan diseluruh dunia pada 1hb Oktober setiap tahun. Secara amnya sambutan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan dan isu-isu berkaitan warga emas. Sambutan ini juga diadakan untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan terhadap jasa dan sumbangan warga emas kepada masyarakat.
Tema sambutan warga emas tahun ini adalah ‘Kesaksamaan digital merentasi usia’ (Digital equity for all ages). Tema ini sangat bertepatan dan seiring dengan kemajuan teknologi digital yang sangat pesat yang mana telah memberikan impak kepada pelbagai sektor dan mempengaruhi kehidupan seharian kita terutama sekali cara berkomunikasi di antara satu sama lain termasuk warga emas. Warga emas dengan ini tidak terkecuali daripada terlibat dalam perkembangan teknologi ini. Oleh itu, mereka seharusnya di berikan peluang yang sama untuk menggunakan teknologi digital ini dan memperolehi manfaat yang sebaiknya.
Data dari Jabatan Statistik Malaysia pada tahun ini menunjukkan seramai 3.6 juta ataupun 11.2 peratus penduduk Malaysia adalah berumur 60 tahun dan ke atas. Malaysia dijangkakan akan menjadi negara tua pada tahun 2030 apabila 15.3 peratus dari jumlah penduduk negara ini berumur 60 tahun dan ke atas. Data ini menunjukkan Malaysia akan menjadi negara tua lebih pantas dari yang dijangkakan 5 tahun dahulu.
Jangka hayat rakyat Malaysia telah meningkat daripada 74.3 tahun ke 75.6 tahun dalam tempoh 10 tahun ini. Apabila jangka hayat bertambah, implikasi ini bukan sahaja terhad kepada masalah kesihatan kronik, ianya juga memberi impak psikologi, sosial dan juga kewangan kepada warga emas dan juga masyarakat sekeliling. Jadi, adakah kita semua bersedia untuk menghadapi cabaran ini?
Oleh itu, marilah sama-sama kita memperkukuhkan perkhidmatan warga emas (geriatrik) di seluruh Malaysia bagi menghadapi cabaran tersebut dan memastikan kesihatan warga emas Malaysia terjaga dan setanding negara-negara lain.
Sekian, terima kasih.
Unit Perkhidmatan Perubatan
Cawangan Perkembangan Perkhidmatan Perubatan
Bahagian Perkembangan Perubatan KKM




