Perkhidmatan Yang Disediakan

Perkhidmatan yang disediakan

Perkhidmatan ini melibatkan penjagaan serta penyeliaan yang berterusan dan perlu disediakan menepati keperluan kesihatan serta pelanggan masa kini.

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah:

  1. Pemeriksaan Kesihatan
    1. Pengambilan antropometri (berat dan tinggi) untuk memantau pertumbuhan  kanak-kanak
    2. Menjalankan penilaian perkembangan dan mengesan keadaan luar biasa
    3. Penilaian pemakanan
  2. Rawatan untuk penyakit ringan
  3. Pemberian suntikan imunisasi
  4. Pendidikan Kesihatan dan Khidmat nasihat
  5. Lawatan ke rumah
  6. Rujukan ke pakar, sekiranya perlu.

Buku Rekod Kesihatan Bayi dan Kanak-kanak (0-6 Tahun)

Buku Rekod Kesihatn bayi dan Kanak-kanak(0-6Tahun)

Semua bayi yang dilahirkan di hospital KKM akan diberi buku rekod ini sebelum dibenarkan pulang (discaj) dan adalah percuma.

Sekiranya semasa discaj bayi tidak diberi buku ini sila dapatkan dari pegawai yang bertugas di wad-wad hospital tempat bersalin.

Buku ini memberi panduan, pengetahuan dan nasihat kepada ibu bapa/penjaga dalam pelbagai aspek jagaan anak. Contohnya, tanda-tanda amaran bayi atau kanak-kanak memerlukan rawatan segera di Klinik atau Hospital. Jenis makanan yang sesuai mengikut umur kanak-kanak juga disenaraikan. Jadual imunisasi dan jadual untuk membawa anak ke klinik juga dipaparkan.

Buku Rekod ini perlu dibawa bersama setiap kali bayi atau kanak-kanak hadir ke klinik dan hospital sama ada kerajaan/swasta.

Anggota perawat akan mencatat maklumat berikut semasa setiap sesi lawatan bayi dan kanak-kanak di klinik kesihatan, Klinik Swasta, KKIA, K1Malaysia, Klinik Desa, Hospital Kerajaan/Swasta;-

i)     segala jumpaan / dapatan pemeriksaan kesihatan

ii)    rawatan yang diberikan

iii)   jenis imunisasi dan tarikh suntikan imunisasi

iv)   tarikh susulan

Ujian Saringan G6PD dan Congenital Hypotyhroidism

Ujian Saringan G6PD dan Congenital Hypothyroidism kepada Bayi Baru Lahir

Semua bayi baru lahir akan diambil darah untuk Ujian G6PD dan Congenital Hypothyroidism. Ujian ini adalah selamat kerana darah diambil dari tali pusat bayi sebaik sahaja selepas kelahiran.

Ujian saringan G6PD adalah perlu untuk mengenal pasti bayi yang mempunyai risiko tinggi mengalami jaundis teruk yang boleh mengakibatkan kecacatan atau kematian jika rawatan segera tidak diberi.

Ujian saringan Congenital Hypothyroidism dijalankan untuk mengesan bayi yang berkemungkinan mengalami Congenital Hypothyroid. Bayi–bayi ini perlu memulakan rawatan awal, sebaiknya dalam tempoh dua minggu selepas dilahirkan bagi.mengelakkan dari berlakunya kerencatan akal (cretinism).

Keputusan-keputusan ini akan dicatat dalam Buku Rekod Kesihatan Kanak-kanak (0-6 tahun)

Imunisasi

Imunisasi adalah salah satu cara yang amat berkesan untuk melindungi kanak-kanak seterusnya penduduk negara ini dari jangkitan penyakit yang boleh dicegah oleh imunisasi. Imunisasi ini diberi secara percuma di semua klinik kesihatan, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA), K1Malaysia dan klinik desa di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.

Imunisasi yang diberikan ialah untuk mencegah penyakit:-

i)   BCG –TB (Batuk Kering)

ii)   Hepatitis B

iii)  Diptheria (Sakit Kerongkong)

iv)  Pertussis (Batok Kokol)

v)  Tetanus (Sawan di kalangan bayi baru lahir)

vi)  HiB (angkitan paru-paru/jangkitan selaput otak)

vii) Polio

viii) MMR (Campak/Beguk / Rubella)

Bayi dan kanak-kanak perlu diberikan suntikan vaksin mengikut jadual umur yang telah ditetapkan agar bayi dan kanak-kanak mendapat perlindungan yang optimum.

Sebagai contoh; Imunisasi Hepatitis B akan diberi sebaik sahaja dilahirkan imunisasi BCG pula diberi pada keesokan harinya atau sebelum dibenarkan pulang. Hepatitis B akan diberikan seterus nya semasa bayi berumur 2 bulan dan 6 bulan.

Jenis vaksin serta tarikh suntikan diberi akan dicatat oleh jururawat bertugas ke dalam Buku Rekod Kesihatan Kanak-kanak (0-6 tahun). Ibu bapa dan penjaga kanak-kanak diminta untuk menyemak sama ada imunisasi ini diberi atau tidak dan pastikan ianya dicatat.

Selain imunisasi yang terdapat dalam jadual di atas, terdapat dua jenis imunisasi yang digalakkan untuk diberi kepada bayi dan kanak-kanak iaitu Imunisasi Rotavirus dan Pnuemococcal. Imunisasi boleh didapati di klinik/hospital swasta dan bayaran akan dikenakan.