SEJARAH

Imbasan Sejarah

Perkhidmatan kesihatan keluarga merupakan antara perkhidmatan yang terawal dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, sejak tahun 1900 lagi. Perkhidmatan ini bermula dengan Kesihatan Ibu dan Anak yang merupakan teras bagi perkhidmatan kesihatan luar bandar. Kini ia telah berkembang menjadi perkhidmatan yang komprehensif pada peringkat penjagaan primer.

Tumpuan awal perkhidmatan kesihatan keluarga ini adalah kepada penduduk luar bandar. Perkhidmatan Kesihatan Ibu dan Anak disalurkan melalui Sistem Tiga Peringkat (3-Tier System), di mana Klinik Bidan sebagai fasiliti peringkat pertama terdekat dengan masyarakat, dijaringkan melalui sistem rujukan yang teguh dengan Pusat Kesihatan Kecil dan Pusat Kesihatan Besar.

Perkhidmatan Kesihatan Ibu dan Anak bermula sebagai program yang vertical seperti perkhidmatan kesihatan sekolah, perancang keluarga dan penyakit bawaan vektor. Kini ia telah diintegrasikan sebagai satu pakej perkhidmatan kesihatan yang komprehensif dan disampaikan pada peringkat penjagaan kesihatan primer. Dengan pembangunan modal insan yang teguh, perkhidmatan kesihatan primer telah dikembangkan meliputi penduduk di kawasan pendalaman bagi golongan yang terpinggir dan miskin di bandar, bersesuaian dengan matlamat perkhidmatan primer iaitu mencapai ‘Liputan Sejagat’. Setiap rakyat Malaysia mempunyai hak kepada perkhidmatan kesihatan primer. Justeru itu, dalam millienium ini, semua pendekatan kini menumpu kepada memperluaskan lagi akses kepada masyarakat. 


 tahun 19...

1923 

Perundangan Kawalan amalan dan latihan kebidanan di Negeri-Negeri Selat (Melaka) dan seterusnya di negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu telah diperkenalkan.

1948 

Kesihatan Ibu dan Anak telah dipilih sebagai salah satu bidang utama dari 4 bidang kesihatan yang telah dikenalpasti oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

1956

Perkhidmatan Kesihatan Ibu dan Anak dikenalpasti sebagai komponen utama dalam Program Pembangunan Kesihatan Luar Bandar Negara. Semenjak itu, kemudahan-kemudahan kesihatan telah dibangunkan dengan meluas di bawah perkhidmatan kesihatan luar bandar melalui Pusat Kesihatan Luarbandar (1:50,000 penduduk) berkonsepkan Sistem 3-peringkat (3-tier). Perkhidmatan pergigian dan pesakit luar juga disalurkan melalui Pusat-Pusat Kesihatan Besar dan Pusat-pusat Kesihatan Kecil (1:10,000 penduduk), manakala perkhidmatan kebidanan di rumah disediakan di Rumah-rumah Bidan dan Klinik (1:2000 penduduk)

1964

Unit Kesihatan Ibu dan Anak di Kementerian Kesihatan Malaysia telah ditubuhkan secara rasmi untuk tujuan pembangunan, penyeliaan dan kawalan perkhidmatan yang lebih berkesan. Walaubagaimanapun, unit ini telah dimansuhkan selepas setahun ditubuhkan.

1971

Selepas enam tahun, Unit Kesihatan Ibu dan Anak diwujudkan semula pada bulan April.

1973

Perkhidmatan Perancang Keluarga dalam Unit Kesihatan Keluarga, Program Amalan Makanan dan Pemakanan, serta Program Kesihatan Sekolah telah diintegrasikan dalam program Kesihatan Ibu dan Anak.

1974

Jawatan Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Negeri diwujudkan untuk mengukuhkan pembangunan perkhidmatan Kesihatan Ibu dan Anak di Peringkat negeri.

1976

Jawatan Pegawai Zat Makanan  Negeri diwujudkan.

1979

Perkhidmatan Kesihatan Luar bandar telah dinaiktaraf dari Sistem 3-peringkat (3-tier system) yang merangkumi Pusat Kesihatan Besar, Pusat Kesihatan Kecil serta Rumah Bidan kepada Sistem 2-peringkat (2-tier system) yang merangkumi Klinik Kesihatan dan Klinik Desa.

1991

Aktiviti Kesihatan Ibu dan Anak dalam program Kesihatan Keluarga telah diperluaskan merangkumi Unit Ibu dan Anak, Unit Pesakit Luar dan Unit Pergigian

1995

Di peringkat Ibu Pejabat, Unit baru termasuk Penjagaan Kesihatan Primer, Kesihatan Warga Tua, Kesihatan Remaja dan Kesihatan Mental telah diwujudkan. Manakala Pusat-Pusat Kesihatan telah bertukar nama kepada Klinik-Klinik Kesihatan untuk menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih komprehensif kepada komuniti.

1996

Bahagian Kesihatan Keluarga di bawah Jabatan Kesihatan Awam ditukar nama kepada Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga berdasarkan kepada perluasan skop yang telah diperkenalkan. Unit Kesihatan Primer telah dinaiktaraf kepada Cawangan Penjagaan Kesihatan Primer.

1997

Pakar Perubatan Keluarga telah mula melapurkan diri buat pertama kali di klinik-klinik kesihatan dan memberi perkhidmatan yang telah diperluaskan.


 tahun 20...

2001

Dasar Kesihatan Remaja dirasmikan.

2006

Perkhidmatan Primer telah diperkenalkan dengan Sistem Rekod Perubatan Elektronik iaitu  Teleprimary Care (TPC). Ini merupakan satu ‘enterprise system’ yang membolehkan perkongsian rekod klinikal pesakit di antara klinik kesihatan dengan hospital yang dirujuk. Sebagai permulaan, tiga buah negeri terlibat iaitu Johor, Sarawak dan Perlis.

2008

REAP or Reviewed Approach In Primary Health Care” telah diperkenalkan. Kaedah ini adalah hasil dari keperluan untuk mengendalikan pelbagai program yang diperkenalkan di klinik kesihatan, bermula dengan program kaedah pusingan hayat seperti remaja, dewasa, warga emas dan keperluan khas dengan pelbagai program pencegahan seperti kanser, darah tinggi, diabetis, tibi, malaria, HIV, penyakit kelamin dan banyak lagi. Kaedah  ini melihat kepada cara mana pelbagai program, aktiviti dan proses kerja diintegrasikan menjadikan satu usaha yang mantap bagi mengendalikan pesakit secara menyeluruh di peringkat individu.

2010

Fasiliti Klinik Kesihatan telah diperkenalkan dengan tambahan klinik dinamakan Klinik 1 Malaysia, Klinik Bus Bergerak 1 Malaysia, Klinik Boat Bergerak 1 Malaysia sebagai tambahan kepada Klinik Kesihatan dan Klinik Ibu Anak, Klinik Desa.

2012

Fasiliti Kesihatan diperluaskan lagi dengan 2 kategori baru di bawah Transformasi Kerajaan iaitu Rural Transformation Program (RTC), Urban Transformation Program (UTC) di mana Klinik RTC dan Klinik UTC dibina.

 

PENGENALAN

Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga (BPKK) adalah nadi perkhidmatan kesihatan awam pada peringkat primer bagi negara ini. Perkhidmatan yang disampaikan melalui pelbagai fasiliti kesihatan awam adalah komprehensif untuk semua peringkat umur dari lahir hingga ke akhir hayat. Skop perkhidmatan adalah terdiri dari lima komponen:

  • KESIHATAN KESEJAHTERAAN
  • KECEMASAN
  • INFORMATIK KESIHATAN
  • RAWATAN PENYAKIT
  • SOKONGAN KLINIKAL

Kesemua jenis perkhidmatan disampaikan melalui pelbagai fasiliti kesihatan statik yang kini berjumlah lebih dari 3,000 klinik. Disamping itu, perkhidmatan juga disalurkan melalui perkhidmatan bergerak yang kini berjumlah lebih dari 200 unit. Perkhidmatan bergerak yang melangkaui sempadan disampaikan melalui darat, udara dan air sehingga menjelajahi kediaman di ceruk pendalaman. Sehingga kini, jumlah kedatangan pesakit di fasiliti dan perkhidmatan tersebut telah menghampiri 60 juta setahun.

BPKK merupakan salah satu dari empat bahagian di bawah Program Kesihatan Awam. Program Kesihatan Awam pula adalah satu dari tiga program utama di bawah Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.
 
BPKK bertanggungjawab untuk membangun dan melaksanakan strategi bagi pelbagai polisi yang diluluskan serta memantau kemajuan projek dan aktiviti pada peringkat akar umbi.


Bagi menyempurnakan tanggungjawab tersebut, BPKK mempunyai dua cawangan di bawahnya, iaitu:

  • Cawangan Kesihatan Jagaan Primer
  • Cawangan Kesihatan Keluarga

Bagi memudahkan pemahaman ciri-ciri cawangan ini, ia boleh dibandingkan dengan ‘perkakasan’ bagi Cawangan Kesihatan Jagaan Primer dan ‘perisian’ bagi Cawangan Kesihatan Keluarga.

  • CAWANGAN KESIHATAN JAGAAN PRIMER

    mempunyai 10 sektor yang bertanggungjawab untuk merancang dan memudahcara pelaksanaan program pada peringkat akar umbi dan usaha-usaha mengintergrasikan perkhidmatan dengan pelbagai agensi:

    Sektor Sokongan Klinikal
    Sektor Sokongan Teknikal
    Sektor Perkembangan Infrastruktur Primer
    Sektor Pembangunan Polisi Penjagaan Kesihatan Primer
    Sektor Kualiti Primer
    Sektor Penjagaan Pra-Hospital dan Kecemasan Primer
    Sektor Pencegahan Primer
    Sektor Perubatan Primer
    Sektor Teleprimary Care (TPC)
    Sektor Sistem Maklumat Primer
  • CAWANGAN KESIHATAN KELUARGA

    mempunyai 7 sektor yang bertanggungjawab merancang dan melaksana program berasaskan pendekatan "kitaran hidup". Sektor-sektor tersebut adalah:

    Sektor Kesihatan Ibu
    Sektor Kesihatan Bayi dan Kanak-Kanak
    Sektor Kesihatan Remaja
    Sektor Kesihatan Sekolah
    Sektor Kesihatan Dewasa
    Sektor Kesihatan Warga Emas
    Sektor Kesihatan Orang Kurang Upaya

 

 


VISI
Ke arah keluarga sihat sejahtera serta menikmati kehidupan yang

berkualiti sepanjang hayat.

MISI
Untuk melahirkan institusi keluarga yang sihat sejahtera, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga (BPKK) akan:

  • Merancang dan menyedia program kesihatan keluarga yang komprehensif dan bersepadu untuk setiap individu, keluarga dan masyarakat.
  • Menggalakkan penglibatan masyarakat dalam penjagaan kesihatan melalui peningkatan kesedaran setiap individu, keluarga dan masyarakat.
  • Memupuk kerjasama dan penyertaan pelbagai sektor, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan dalam pelaksanaan aktiviti-aktiviti kesihatan keluarga.

Subcategories