PENGENALAN

Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga (BPKK) adalah nadi perkhidmatan kesihatan awam pada peringkat primer bagi negara ini. Perkhidmatan yang disampaikan melalui pelbagai fasiliti kesihatan awam adalah komprehensif untuk semua peringkat umur dari lahir hingga ke akhir hayat. Skop perkhidmatan adalah terdiri dari lima komponen:

  • KESIHATAN KESEJAHTERAAN
  • KECEMASAN
  • INFORMATIK KESIHATAN
  • RAWATAN PENYAKIT
  • SOKONGAN KLINIKAL

Kesemua jenis perkhidmatan disampaikan melalui pelbagai fasiliti kesihatan statik yang kini berjumlah lebih dari 3,000 klinik. Disamping itu, perkhidmatan juga disalurkan melalui perkhidmatan bergerak yang kini berjumlah lebih dari 200 unit. Perkhidmatan bergerak yang melangkaui sempadan disampaikan melalui darat, udara dan air sehingga menjelajahi kediaman di ceruk pendalaman. Sehingga kini, jumlah kedatangan pesakit di fasiliti dan perkhidmatan tersebut telah menghampiri 60 juta setahun.

BPKK merupakan salah satu dari empat bahagian di bawah Program Kesihatan Awam. Program Kesihatan Awam pula adalah satu dari tiga program utama di bawah Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.
 
BPKK bertanggungjawab untuk membangun dan melaksanakan strategi bagi pelbagai polisi yang diluluskan serta memantau kemajuan projek dan aktiviti pada peringkat akar umbi.


Bagi menyempurnakan tanggungjawab tersebut, BPKK mempunyai dua cawangan di bawahnya, iaitu:

  • Cawangan Kesihatan Jagaan Primer
  • Cawangan Kesihatan Keluarga

Bagi memudahkan pemahaman ciri-ciri cawangan ini, ia boleh dibandingkan dengan ‘perkakasan’ bagi Cawangan Kesihatan Jagaan Primer dan ‘perisian’ bagi Cawangan Kesihatan Keluarga.

  • CAWANGAN KESIHATAN JAGAAN PRIMER

    mempunyai 10 sektor yang bertanggungjawab untuk merancang dan memudahcara pelaksanaan program pada peringkat akar umbi dan usaha-usaha mengintergrasikan perkhidmatan dengan pelbagai agensi:

    Sektor Sokongan Klinikal
    Sektor Sokongan Teknikal
    Sektor Perkembangan Infrastruktur Primer
    Sektor Pembangunan Polisi Penjagaan Kesihatan Primer
    Sektor Kualiti Primer
    Sektor Penjagaan Pra-Hospital dan Kecemasan Primer
    Sektor Pencegahan Primer
    Sektor Perubatan Primer
    Sektor Teleprimary Care (TPC)
    Sektor Sistem Maklumat Primer
  • CAWANGAN KESIHATAN KELUARGA

    mempunyai 7 sektor yang bertanggungjawab merancang dan melaksana program berasaskan pendekatan "kitaran hidup". Sektor-sektor tersebut adalah:

    Sektor Kesihatan Ibu
    Sektor Kesihatan Bayi dan Kanak-Kanak
    Sektor Kesihatan Remaja
    Sektor Kesihatan Sekolah
    Sektor Kesihatan Dewasa
    Sektor Kesihatan Warga Emas
    Sektor Kesihatan Orang Kurang Upaya

 

 


VISI
Ke arah keluarga sihat sejahtera serta menikmati kehidupan yang

berkualiti sepanjang hayat.

MISI
Untuk melahirkan institusi keluarga yang sihat sejahtera, Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga (BPKK) akan:

  • Merancang dan menyedia program kesihatan keluarga yang komprehensif dan bersepadu untuk setiap individu, keluarga dan masyarakat.
  • Menggalakkan penglibatan masyarakat dalam penjagaan kesihatan melalui peningkatan kesedaran setiap individu, keluarga dan masyarakat.
  • Memupuk kerjasama dan penyertaan pelbagai sektor, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan dalam pelaksanaan aktiviti-aktiviti kesihatan keluarga.