Pada 1 Jun 2022, Unit Perkhidmatan Pengurusan Hospital (UPPH), Cawangan Perkembangan Perkhidmatan Perubatan dengan kerjasama Institut Pengurusan Kesihatan telah mengadakan Bengkel Pelaksanaan Projek Rintis Lean Flying Squad. Objektif utama bengkel ini adalah penghasilan ideal model bagi mengukuhkan Lean Flying Squad di peringkat negeri.
UPPH dan IPK telah mengadakan beberapa sesi soal jawab bersama Lean Champions dan Lean Managers dari seluruh negara bagi menilai negeri yang berpotensi untuk menjalankan projek rintis State Lean Flying Squad. Penilaian dibuat berdasarkan critical success factors kelestarian pembudayaan Lean dalam organisasi. Sebanyak empat (4) buah negeri dengan skor penilaian tertinggi beserta keunikan perjalanan inisiatif Lean di negeri masing-masing telah terpilih untuk hadir ke bengkel ini, iaitu Kedah, Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan.
Wakil dari setiap JKN telah bejaya membentangkan strategi dan aktiviti yang bakal dilaksanakan bagi mengukuh dan mengembangkan inisiatif Lean termasuklah pengukuhan tadbir urus Lean Flying Squad dengan JKN serta idea ke arah Lean Hospital di negeri masing-masing. Turut hadir sebagai panel sesi pembentangan adalah Datin Seri Dr Asmah Samat, Timbalan Pengarah Cawangan Perkembangan Perkhidmatan Perubatan dan Dr Mohd Ridzwan Shahari, Ketua UPPH.
Seterusnya pada 2 Jun 2022, para peserta bengkel telah dibawa melawat Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang bagi melihat sendiri budaya kerja Lean, komitmen dan semangat berpasukan Lean HTAR sehingga mereka berjaya mendapat pengikitirafan sebagai Lean Hospital oleh Malaysia Productivity Corporation (MPC). Sesi perkongsian yang telah diadakan di HTAR telah membuka mata tentang kepentingan komunikasi ke arah kerja berpasukan yang mantap, selain banyak memberikan idea baru bagi menambah baik proses kerja di hospital.
Unit Perkhidmatan Pengurusan Hospital
Cawangan Perkembangan Perkhidmatan Perubatan



