
PERGIGIAN FORENSIK

Kepakaran Pergigian Forensik merupakan satu cabang kepakaran pergigian yang berperanan membantu sistem perundangan negara dalam siasatan kes sivil dan jenayah. Kes-kes pergigian forensik melibatkan individu di semua peringkat umur, sama ada di dalam negara atau di peringkat antarabangsa. Kepakaran Pergigian Forensik terlibat di dalam membuat pemeriksaan, dokumentasi, analisis dan memberi keterangan pendapat pakar (expert opinion) ke atas apa-apa bukti pergigian yang dijumpai di dalam kes-kes yang dirujuk daripada pihak penguatkuasa undang-undang. Sekiranya perlu, kesemua penemuan ini kemudiannya akan dibentangkan di dalam mahkamah. Kes-kes sivil dan jenayah yang dikendalikan oleh kepakaran ini meliputi kedua-dua jenis kes: individu yang telah mati (post-mortem) dan juga kes-kes klinikal individu hidup di pelbagai peringkat umur. Kepakaran ini menerima rujukan dalaman dari Jabatan Perubatan Forensik dan Unit Pusat Krisis Sehenti (OSCC) di bawah Jabatan Trauma dan Kecemasan; serta rujukan luaran daripada pelbagai agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Penjara, mahkamah dan juga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Skop tugas utama Kepakaran Pergigian Forensik merangkumi perkara berikut:
- Pengenalpastian mayat yang tidak dikenali sama ada kematian tunggal atau bencana besar-besaran (melalui operasi Disaster Victim Identification, DVI). International Criminal Police Organization (INTERPOL) telah mengiktiraf gigi sebagai salah satu teknik mengenalpasti identiti manusia secara saintifik.
- Pemprofilan mayat yang tidak dikenal pasti melalui gigi.
- Prosedur penganggaran umur individu hidup untuk menentukan status undang-undangnya kerana ketiadaan dokumen pengenalan yang sah, tidak berdaftar atau kelewatan daftar sijil kelahiran.
- Kecederaan yang disengajakan pada kanak-kanak (maksilofasial dan kesan gigitan).
- Pengurusan kesan gigitan pada manusia atau objek tidak bernyawa.
- Serangan seksual dan fizikal yang melibatkan kawasan rongga mulut dan maksilofasial terutamanya kes-kes seksual oral dengan penglibatan Unit Pusat Krisis Sehenti (OSCC).
- Antropologi pergigian & perbandingan anatomi pergigian.
|
Setakat ini, perkhidmatan pergigian forensik dibahagikan mengikut zon-zon seperti berikut termasuk pengerahan tugas ke mana-mana lokasi di dalam negara dan juga luar negara apabila diperlukan:
- Zon Tengah - Hospital Kuala Lumpur menyampaikan perkhidmatan yang meliputi meliputi selatan negeri Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor
- Zon Utara - Hospital Pulau Pinang menyampaikan perkhidmatan yang meliputi utara negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis
- Zon Pantai Timur - Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan menyampaikan perkhidmatan bagi yang meliputi negeri Pahang, Terengganu dan Kelantan
- Sarawak - Hospital Umum Sarawak menyampaikan perkhidmatan bagi negeri Sarawak.
- Sabah & WP Labuan - Hospital Queen Elizabeth menyampaikan perkhidmatan bagi negeri Sabah & WP Labuan.
|