BEDAH MULUT DAN MAKSILOFASIAL

Kepakaran Bedah Mulut dan Maksilofasial (OMFS) adalah satu bidang kepakaran pergigian dan sentiasa menjadi perantara di antara bidang perubatan dan pergigian. Kepakaran ini bertanggungjawab untuk membuat diagnosis dan rawatan pembedahan bagi penyakit dan kecederaan pada mulut, rahang, muka, kepala, leher dan struktur yang berkaitan. Kepakaran OMFS ini adalah bidang yang berkembang melalui teknologi terkini dan teknik baru yang diperkenalkan telah meluaskan skop OMFS. Pada masa kini kepakaran ini menawarkan perkhidmatan seperti di bawah:
1. Pembedahan Dentoalveolar
Melibatkan pembedahan pada gigi dan struktur sokongannya iaitu tulang alveolar dan gusi.
2. Patologi Orofacial
Melibatkan pemeriksaan dan penyiasatan punca, proses dan kesan penyakit yang bermula di dalam mulut atau rahang.
3. Trauma Oral dan Maksilofasial
Rawatan trauma pada muka dan rahang yang biasanya disebabkan oleh aktiviti sukan, kemalangan atau keganasan.
4. Onkologi Mulut dan Maksilofasial dan Pembedahan Rekonstruktif
Penjagaan menyeluruh kepada pesakit yang didiagnosis dengan barah (malignant) dan bukan barah (benign) yang melibatkan muka, mulut, rahang dan leher.
5. Pembedahan Klef Bibir dan Lelangit
Klef bibir dan lelangit adalah pembentukan tidak lengkap bibir atas (klef bibir) dan bumbung mulut (klef lelangit). Pembedahan diperlukan untuk membaiki sumbing bibir dan/atau sumbing lelangit.
6. Gangguan Sendi Temporomandibular
Gangguan Sendi Temporomandibular adalah gangguan pada sendi temporomandibular dan struktur sekelilingnya (otot, sendi, ligamen dan saraf). Gangguan ini menjejaskan pergerakan rahang dan pembukaan mulut. Pesakit yang mengalami gangguan pada sendi temporomandibular mungkin mengalami sakit rahang ketika mengunyah atau menguap, kesukaran membuka/menutup mulut dan/atau bunyi klik apabila sendi rahang digerakkan boleh menyebabkan sakit kronik.
7. Implantologi Pergigian
Melibatkan pemasangan peranti perubatan ke dalam rahang untuk menggantikan akar gigi. Gigi artifisial atau korona yang diperbuat daripada aloi atau porselin disimen atau di skru ke atas implan tersebut.
8. Penyakit Kelenjar Air Liur
Melibatkan diagnosis, rawatan dan prosedur pembedahan kepada kelenjar air liur.
9. Pembedahan Kosmetik Terhad Kepada Muka, Kepala dan Leher
10. Anomali Kraniofasial Kongenital
Anomali kraniofasial adalah kumpulan pelbagai kecacatan dalam pertumbuhan kepala dan tulang muka. Keabnormalan ini wujud semasa lahir (kongenital), dan terdapat banyak variasi.
11. Kesakitan Orofasial
Kesakitan Orofasial menggambarkan simptom kesakitan dan/atau disfungsi yang timbul daripada kawasan muka dan mulut.
12. Koronektomi
Teknik koronektomi ditakrifkan sebagai membuang korona gigi dan meninggalkan akar dalam kedudukannya untuk mengurangkan risiko kerosakan saraf. Koronektomi adalah teknik yang lebih baik untuk pesakit yang menghadapi risiko kecederaan pada saraf alveolar inferior semasa pembedahan molar ketiga terimpak.
13. Perancangan Three Dimension (3D) Untuk Reka Bentuk Implan/Rekonstruksi Orofasial
Perisian digunakan untuk membolehkan pakar bedah melakukan simulasi 3D dan mencipta panduan yang boleh digunakan semasa pembedahan.
14. Radiologi Interventif Untuk Mengeluarkan Bendasing
Proses mengeluarkan atau menyingkirkan bendasing dari tubuh badan dengan menggunakan panduan pengimejan.




