10 Mei 2023 : YBhg. Dato’ Dr. Asmayani Khalib, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan)telah merasmikan Majlis Sambutan Hari Sedunia bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2023 Peringkat Kebangsaan bertempat di Auditorium Institut Kanser Negara, Putrajaya.
Pada tahun ini, tema sambutan adalah “Persekitaran Kerja yang Selamat & Sihat: Hak Pekerja” (A safe and healthy working environment: A Fundamental Right), sebagaimana yang telah ditetapkan oleh ILO. Malaysia, salah sebuah negara yang menganggotai Pertubuhan, bersama meraikan sambutan tersebut semenjak tahun 2006. Ini merupakan usaha berterusan dan komitmen Kerajaan sejajar dengan Promotional Framework for Occupational safety and Health Convention 2006 (No.187) yang telah ditandatangani bagi memastikan pekerja-pekerja di negara ini dilindungi sebaiknya sepanjang mereka menjalankan tugas seharian di tempat kerja.
Sambutan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran antarabangsa mengenai keselamatan dan kesihatan dalam kalangan pekerja dan majikan menerusi penerapan budaya kerja selamat dan sihat. Ia juga bertujuan memupuk tanggungjawab setiap individu untuk mencegah kemalangan, penyebaran penyakit mahupun kematian pekerja di tempat kerja, di samping mencapai sasaran Sustainable Development Goal (SDG), 8.8 iaitu persekitaran kerja yang selamat dan terjamin bagi semua pekerja menjelang tahun 2030.
Sempena majlis sambutan ini, Garis Panduan Mencegah & Menangani Kekerasan Terhadap Warga Kerja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Fasiliti Kesihatan Edisi ke-2 telah dilancarkan. Garis panduan ini adalah penambahbaikan garis panduan sedia ada dari segi definisi, skop, pengendalian kes kekerasan dan proses notifikasi.
Melalui garis panduan terbaharu ini, kekerasan terhadap warga KKM diharap dapat ditangani dengan lebih berkesan serta memastikan keselamatan serta kesejahteraan tempat kerja di KKM terpelihara. Ini juga menunjukkan komitmen pengurusan atasan KKM dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan warga kerja KKM, dan pada masa yang sama mutu penyampaian perkhidmatan yang berkualiti dan terbaik dapat disampaikan kepada pelanggan sekiranya gangguan seumpama ini terhadap warga KKM dapat dikurangkan.
YBhg. Dato’ Dr. Asmayani Khalib telah menyerahkan Laporan Kekerasan Terhadap Warga Kerja di Hospital dan Institut Perubatan KKM (2017-2021) kepada Pengarah-Pengarah Kesihatan Negeri. Beliau turut membuat lawatan ke tapak pameran di Lobi Institut Kanser Negara, Putrajaya.
Turut hadir YBhg. Datuk Dr Norhayati binti Rusli, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Dr Mohd Azman bin Yacob, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan dan Dr. Mohd Anis bin Haron@Harun, Pengarah Institut Kanser Negara.


