Miku Challenge Ride with Hope

Pada 12 Jun 2022, satu kayuhan basikal amal “Miku Challenge Ride with Hope” telah berlangsung di Dataran Rembau, Negeri Sembilan. Program amal ini merupakan kerjasama antara persatuan-persatuan Penyakit Jarang Jumpa termasuk Malaysian Lysosomal Disease Association (MLDA), Malaysian Rare Disease Association (MRDS), Persatuan Syndrome Prader-Willi Malaysia (PWS) dan juga Persatuan Berbasikal Negeri Sembilan (PBNS) bertujuan untuk meraih kutipan dana bagi Tabung Amanah Penyakit Jarang Jumpa. Liputan Perubatan untuk program ini adalah dari St John Ambulan Kuala Lumpur hasil kerjasama dari Dr Mohd Anuar Samad, Ketua Unit Kecemasan dan Trauma, Cawangan Perkembangan Perkhidmatan Perubatan.

Program bermula seawal jam 7.30 am melibatkan seramai lebih 500 peserta terdiri daripada 3 kategori iaitu :

Kategori 1 : 74km (merentasi Bukit Miku)
Kategori 2 : 16km
Kategori 3 : 1km Fun Walk & Fun Ride

Acara “flag off” telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah, Cawangan Pembangunan Profession Perubatan, Dr Hirman Ismail selaku wakil dari Kementerian Kesihatan Malaysia. Beberapa wakil dari Bahagian Perkembangan Perubatan juga turut serta dalam kategori 2 dan kategori 3 program ini. Penganjuran program kayuhan basikal amal ini telah berjaya mengumpul dana sebanyak Rm100, 000.00 untuk Tabung Amanah Penyakit Jarang Jumpa.

Melalui rakaman ucapan daripada YBMK, dengan tema tahun ini “Kongsi Warna Anda” (“Share Your Colours”) pihak KKM akan berusaha mempertingkatkan mutu perkhidmatan serta akses kepada terapi dan mengurangkan stigmatisasi para pesakit Jarang Jumpa serta keluarga mereka. Walaupun “Rare Disease” bukan yang selalu kita dengar, namun penyakit ini juga menjadi keutamaan KKM kerana ada nyawa yang hilang akibat daripada tidak mendapat rawatan dalam masa yang tepat. Adalah besar harapan supaya program ini menjadi platform untuk memperkenalkan serta memberi kesedaran kepada masyarakat tentang penyakit ini.

Unit Perkhidmatan O&G dan Pediatrik
Cawangan Perkembangan Perkhidmatan Perubatan
Bahagian Perkembangan Perubatan, KKM